Malaysia Dateline

AUKU: Mahasiswa kecoh dihalang adakan sidang media, ditenangkan MP Pakatan Harapan

Lobi Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh apabila sekumpulan mahasiswa yang ingin menyampaikan memorandum berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971(Auku) kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dihalang oleh pegawai keselamatan Parlimen.

Kekecohan bermula apabila kira-kira sepuluh mahasiswa daripada Gabungan Pembebasan Akademik cuba mengadakan sidang media di lobi tetapi dihalang pihak pengawal keselamatan.

Situasi kembali terkawal apabila Ahli Parlimen (PH-Petaling Jaya), Maria Chin Abdullah, (PH-Tangga Batu) Rusnah Aluai dan (PH-Pasir Gudang) Hassan Karim hadir mendengar keluhan mereka dan bersetuju untuk menyampaikan mesej mereka kepada Maszlee.

Wakil mahasiswa, Sharan Raj daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berkata, mereka menuntut Kementerian Pendidikan memansuhkan Auku Seksyen 15 dan 16 dimansuhkan bukan sekadar menggugurkan dua bahagian dalam seksyen itu.

“Seksyen 15 dan 16 itu membenarkan naib canselor untuk membubarkan persatuan pelajar dan menghukum pelajar.

“Keputusan kerajaan ini dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri yang menguntungkan parti politik sahaja, bukannya untuk manfaat semua pelajar,” katanya seperti dipetik Sinaronline.

Ketika dibawa keluar dari bangunan Dewan Rakyat, kedengaran suara yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan menghalau mereka.

“Kami dah berjuang memenangkan PH, tak sangka kami dilayan seperti ini,” kata salah seorang pelajar itu.

Mereka turut membawa plakad yang menulis “Mansuhkan Auku Seksyen 15 dan Seksyen 16”, “Kononnya sudah turunkan umur pengundi, tapi masih tak mansuh Auku”, “47 tahun dalam ketakutan, tiada lagi” dan “Mahasiswa bukan budak tadika”.

Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah tersendiri malam tadi apabila pindaan terhadap Auku 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik, diluluskan dengan sebulat suara.

Pindaan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) Auku yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik.

Pindaan akta itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pendidikan.