Auku: Malaysia Baharu perlu mansuhkan akta lapuk, kata Adun Permatang Pasir

Auku: Malaysia Baharu perlu mansuhkan akta lapuk, kata Adun Permatang Pasir

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) perlu dimansuhkan kerana ia merupakan akta lapuk yang tidak mengangkat negara ke tahap yang lebih baik, kata Faiz Fadzil

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, itu berkata, Malaysia Baharu perlu mencerminkan anjakan pemikiran dan juga budaya.

Justeru, akta baharu yang memelihara kebebasan asasi termasuk hak bersuara bagi mahasiswa perlu digubal selaras dengan deklarasi hak asasi manusia.

“Sekiranya mahasiswa telah didedahkan dengan sikap keterbukaan untuk berekspresi tanpa kekangan dan ketakutan, sudah pasti mereka mampu melontarkan idea dan pandangan yang lebih konstruktif.

“Selain itu ia juga berpotensi mengeluarkan idea yang mampan dalam membina negara yang lebih baik di masa hadapan kerana masa depan negara terletak dibahu mereka.

“Perlu disedari sesungguhnya mahasiswa merupakan aset penting negara yang perlu dijaga dan diuruskan dengan baik supaya struktur pembinaan negara diasaskan atas premis ilmu dan kebebasan, ” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Faiz Fadzil (tengah) ketika menghadiri program Wanita Sihat Kadun Permatang Pasir di Dewan Kampung Paya.

Auku 1971 katanya, bertujuan untuk memberikan penubuhan, pengawalan dan pentadbiran Universiti dan Kolej Universiti serta apa jua perihal yang berkaitan dengannya.

Namun begitu, terdapat beberapa peruntukan yang menghalang penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja serta penggabungan antara badan-badan pelajar.

Sehubungan itu tegas Faiz yang juga pengamal undang-undang berkata, akta ini harus segera diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi memastikan mahasiswa lebih berani dan ketrampilan untuk mengeluarkan pandangan maupun buah fikiran demi sebagai pewaris pimpinan negara.

Maka itu, Auku katanya, adalah lebih sesuai dimansuhkan dengan memperkenalkan satu akta baharu yang lebih menjamin masa depan dan hak bersuara bagi mahasiswa maupun negara.

Seandainya ini dapat direalisasikan, negara akan mampu menzahirkan lebih ramai mahasiswa yang berani untuk mengeluarkan kritikan, idea serta pandangan membina demi pembangunan negara pada masa hadapan.

 

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES