
Australia cadang warganya terlibat keganasan dilarang kembali dalam tempoh dua tahun
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Australia mencadangkan undang-undang baharu diperkenalkan untuk melarang warga Australia terlibat dengan keganasan kembali ke negara itu untuk tempoh dua tahun, lapor agensi berita Xinhua.
Menterinya Peter Dutton berkata di Parlimen pada Khamis, agensi keselamatan mempunyai kuasa menangguhkan, memantau dan mengawal warga Australia yang terlibat dalam keganasan di luar negara daripada kembali semula ke Australia.
Di samping itu juga ia memberi kuasa kepada menteri berkaitan mengenakan “perintah pengecualian sementara” ke atas mereka yang mahu kembali dari Timur Tengah.
Dutton berkata langkah itu dilihat penting untuk memastikan rakyat Australia yang terlibat dengan Daesh di Timur Tengah dapat dihalang daripada kembali.
“Rakyat Australia yang terlibat dalam menyokong keganasan dan di Syria atau Iraq, boleh memberikan ancaman besar, terutama sejak kejatuhan Daesh,” katanya kepada News Corp Australia pada Khamis.
Mereka yang tertakluk di bawah perintah pengecualian sementara itu, hanya boleh kembali ke Australia sebelum dua tahun melalui permit dikeluarkan menteri.
“Permit itu bagi membolehkan kementerian memantau semua aspek termasuk tarikh balik dan penerbangan selain memastikan keselamatan bertujuan mengekang sebarang kemungkinan ancaman,” kata Dutton.
— BERNAMA