Australia “gusar” pelan undur tentera dari Afghanistan – Menteri Luar

Australia “gusar” pelan undur tentera dari Afghanistan – Menteri Luar

Menteri Luar Australia, Marise Payne, pada Isnin berkata negara itu ‘amat gusar’ terhadap pelan Amerika Syarikat mengundurkan tentera dari Afghanistan, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam kenyataan paling keras pegawai Australia sejak media Amerika pada Disember melaporkan Presiden Amerika, Donald Trump bersiap untuk mengundurkan separuh daripada 14,000 tentera yang berkhidmat di Afganistan, Payne berkata, Australia gusar terhadap pelan berkenaan.

“Masih banyak yang perlu dilakukan, saya fikir agak menggusarkan bagi Australia jika rakan kongsi utama mengubah arah pada ketika ini,” katanya.

Pada Disember lalu, media Amerika melaporkan, Presiden Donald Trump merancang untuk membawa pulang separuh daripada 14,000 tentera yang berkhidmat di Afganistan.

Peter Leahy, yang berkhidmat selaku ketua tentera Australia antara 2002 dan 2008 berkata, ketidak tentuan mengenai komitmen masa depan Amerika di rantau Timur Tengah seharusnya mendorong Australia untuk memikirkan semula perikatan berkenaan.

“Dengan pendirian Trump yang sebegitu, agak sukar untuk membina dan mengekalkan strategi yang diatur,” katanya kepada News Corp Australia.

“Apa yang perlu kita buat jika apabila kita sudah membuat komitmen dan Amerika mengubah strategi sesuka hati Trump.

“Isu lain adalah Australia perlu memikirkan pelan jangka panjang mengenai kedudukannya sebagai sekutu Amerika.” katanya.

Leahy, yang kini bertugas selaku Pengarah Institut Keselamatan Nasional di Universiti Canberra, berkata langkah Amerika meninggalkan Afghanistan, meletakkan warga Australia di negara bergolak itu dalam keadaan bahaya.

— BERNAMA