Malaysia Dateline

Australia jangan cabar Tun Mahathir

Serangan Bendahari ( Treasurer ) Australia Josh Frydenberg ke atas Perdana Menteri Tun Mahathir kerana menuduh Tun membuat kenyataan anti Yahudi amat di kesali.

Beliau menyerang Tun Mahathir kerana Tun pernah menyoal bilangan sebenarnya orang Yahudi yang terbunuh semasa “Holocaust”.

Serangan ini berpunca dari teguran Tun Mahathir kepada Perdana Mentri Australia Scott Morisson di Singapura berkaitan cadangan Australia hendak memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitul Maqaddis untuk mengikut jejak Amerika.

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Tun Mahathir berhak memberi pandangan beliau kerana Australia perlu sedar mereka berada di Asia dan berjiran dengan Indonesia Negara teramai rakyat Islam dan juga berjiran dengan negara Islam Malaysia serta Brunei.

“Kami rakyat Islam amat sensitif isu Palestin dan Baitul Maqqadis di mana terletaknya Masjid Al Aqsa,” katanya.

Raja Bahrin dalam kenyataan berkata, Australia perlu lebih sensitif dan peka pandangan dan perasaan jiran serantau Muslim mereka.

“Adakah Australia berhajat menjadi relevan dan lebih sebati dengan rantau ini atau menganggap dirinya lebih terikat dengan Negara Barat dan Tuan Besarnya dari Amerika?

“Adakah mentaliti maseh terikat dengan semangat barat dan kulit puteh lama dan lupa di mana terletaknya benua Australia sebenarnya ? Siapakah jiran Australia sebenarnya?”soal beliau.

Tegas beliau, walaupun politik Australia begitu berkiblat ke barat tetapi dalam bidang perniagaan dan ekonomi pula Australia mengakui dirinya sebahagian dari ekonomi rantau ini yang berkait rapat dengan Asia.

“Kalau Australia seekor ular, kepalanya berada di Barat dan ekornya di Asia. Di mana sebenarnya letak hatinya?

“Australia mahu “the best of both world” mahu yang terbaik daripada kedua dua belah dunia Eropah dan Asia tanpa menghormati jiran sebenar mereka,” ujarnya.

Katanya, Australia sebenarnya menghadapi krisis identiti oleh itu mereka perlu membuat pendirian yang berperinsip jika tidak mereka akan menjadi “misfit” (pihak yang aneh), di rantau Asia.

Jelas Raja Bahrin Tun Mahathir di kenali dan di hormati seluruh dunia atas prinsip dan pendirian tegas beliau bukan hanya di mata Negara Islam dan Asia, tetapi juga negara-negara Barat serta Latin yang berkecuali.

“Tun Mahathir bukan hanya bersuara untuk umat Islam, tetapi juga untuk rakyat yang tertindas di seluruh dunia. Kalau di banding dengan Tun Mahathir, siapa kenal Scott Morisson atau Josh Frydenberg ?

“Australia perlu keluar dari mentaliti terpencil – “isolation” mereka dan lebih mengenali dunia luar terutamanya jiran terdekat mereka,” tegas beiau.

Tambah beiau, ketidakhadhiran “Tuan Besar” Australia, Donald Trump dari Amerika, di sidang pemimpin Asia dan Dunia lain di Singapura merupakan satu hikmah yang besar.

Sekali gus, katanya ia akan membuat pemimpin pemimpin Asia lebih akrab lagi dan menyedari mereka sebenarnya perlu satu sama lain lebih dari pemimpin Barat yang tidak konsisten serta tidak menentu dan kadangkalanya bersikap angkuh.
.
“Tun Mahathir berhak bersuara kerana beliau telah pernah memimpin Negara Malaysia selama 22 tahun dan di pilih sekali lagi melalui proses demokrasi untuk memimpin Malaysia pada umur 93 tahun.

“Seluruh dunia kagum dan menghormati kepimpinan dan ketokohan Tun Mahathir,” katanya.