Awal pagi keluar rumah bantu ‘rakan jalanan’

Awal pagi keluar rumah bantu ‘rakan jalanan’

Ketika ramai masih diulit lena sempena cuti hari minggu, anak muda berusia 29 tahun ini sudah memandu dari Shah Alam seawal jam 3.30 pagi menuju ke ibu negara dengan membawa sejumlah kuih-muih.

Bukan untuk dijual sebaliknya akan diagihkan kepada golongan gelandangan atau miskin kota yang mesra dipanggil sebagai ‘rakan jalanan’.

Menyertai aktiviti kesukarelawanan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) sejak Julai tahun lalu, Abu Fitri Abu Hassan berkata, hampir setiap hari Ahad beliau akan meluangkan masa di Masjid Jamek yang menjadi pusat agihan bantuan makanan kepada rakan jalanan.

“Malam minggu tiada istilah tidur lewat. Memang tidur awal sebab awal-awal pagi lagi kena ambil kuih-muih dari rumah jiran.

Sebahagian rakan jalanan memilih pakaian terpakai yang sesuai digunakan

“Alhamdulillah. Mereka (jiran) sanggup buat (kuih) 800 biji dengan harga sebiji hanya 30 sen. Pagi ini roti hotdog dengan kuih talam muka,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline, selepas Subuh semalam di perkarangan Masjid Jamek.

Abu Fitri yang mesra dipanggil Bubu dalam kalangan aktivis Unggas memberitahu penglibatannya dalam NGO tersebut bermula selepas pertama kali diperkenalkan oleh sahabatnya.

Lebih menarik, bermula daripada sekadar komunikasi di media sosial Facebook, Bubu berjaya menarik lebih 30 rakannya yang lain untuk melibatkan diri dalam kegiatan Unggas.

“Saya bawa kumpulan yang mula dikenali dalam komuniti Facebook ‘Shah Alam Residen S.A.R.B.A.N’. Semuanya golongan muda. Bahkan sebelum menyertai
Unggas lagi, kami ada mengadakan program seperti berhari raya bersama asnaf. Jadi bila kenal Unggas, kami terus sertai,” jelasnya.

Mengulas tentang aktiviti memberi bantuan kepada rakan jalanan, beliau berkata, kegiatan tersebut perlu dipupuk sejak peringkat remaja lagi kerana sedikit sebanyak membuka mata anggota masyarakat termasuk pihak berwajib tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Isu gelandangan ini isu besar. Bila banyak NGO turun lapangan dengan pendedahan meluas media, baru banyak badan kerajaan melakukan inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan ini sehingga terbinanya pusat penginapan sementara untuk rakan jalanan di Bulatan Pahang dekat HKL (Hospital Kuala Lumpur).

“Walaupun kami di NGO seperti Unggas ini tidak mampu secara total dapat memberi bantuan sepenuhnya tetapi kami cuba menolong seramai mana rakan jalanan mengikut keupayaan yang ada.

“Kekuatan Unggas ini datang daripada ramai sukarelawan dari segenap usia dan pelbagai latar belakang. Tanpa mereka semuanya tidak berjalan lancar,” ujarnya sambil memberitahu terdapat kira-kira 30 aktivis terlibat dalam setiap minggu misi bantuan dijalankan.

Menurutnya, pendedahan mengenai nasib rakan jalanan sebelum ini membuka mata banyak pihak termasuk sejumlah mahasiswa dari pelbagai universiti awam
sekitar Lembah Kelang yang turut menyumbangkan tenaga membantu hampir setiap minggu.

“Istimewanya selama enam bulan saya bersama Unggas, Alhamdulillah mereka menerima kita sebagai ahli keluarga,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Abu Fitri berharap supaya lebih banyak pihak swasta mahupun badan persendirian tampil untuk menyokong projek Unggas dalam membantu rakan jalanan dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Sama-sama kita membantu rakan jalanan ini untuk jangka panjang seperti menyalurkan mereka kepada peluang pekerjaan selain bantuan dari segi pemberian makanan walaupun diakui bukan ambil masa sekejap untuk ubah mentaliti mereka.

“Ini semua melalui proses panjang. Masing-masing ada pengalaman dan cerita tersendiri. Tugas kita sebagai anggota masyarakat meringankan beban bukan
menghukum dan menyisihkan mereka,” tambahnya lagi.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati lebih 200 golongan rakan jalanan dari sekitar pusat ibu negara mendapatkan sumbangan makanan yang diagihkan oleh
Unggas selepas selesai solat Subuh berjemaah.

Selain bekalan makanan, Unggas turut menyediakan pilihan pakaian terpakai hasil sumbangan orang ramai yang diperiksa terlebih dahulu oleh sukarelawan NGO itu bagi memastikan tiada pakaian yang rosak.

TAGS