Malaysia Dateline

AWAN desak buka Parlimen, beri amaran jangan derhaka titah Agong

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional menggesa agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka segera tanpa syarat dan tidak perlu menunggu sehingga September.

Ketuanya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinetnya memahami titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, hanyalah memberi gambaran akan penderhakaan mereka terhadap titah Baginda Agong.

Pada masa sama katanya, akan menyerlahkan lagi bahawa kerajaan yang ada ini jika diteruskan juga adalah sebuah kerajaan yang lemah.

“Perdana Menterinya bukan sahaja sudah hilang keyakinan untuk mentadbir, bahkan juga telah kehilangan kepercayaan rakyat dan KDYMM Tuanku. Jalan sewajarnya yang dipilih oleh Mahiaddin Yasin adalah berundur secara terhormat.

“Seandainya kerajaan PN yang ada pada hari ini terus mengabaikan titah Tuanku darihal pembukaan Parlimen ini, maka kami ingin menyatakan pandangan kami bahawa Tuanku bolehlah mempertimbangkan untuk menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

“….Sepertimana pada seksyen 14 (1)(b), ordinan itu memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Senator Dewan Negara itu menekankan, sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi, sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara rakyat.

Tegasnya, pentadbiran PN wajib dipertanggungjawabkan atas kegagalan menangani krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 yang sehingga kini telah meragut nyawa sejumlah 4,142 orang sehingga 16 Jun 2021.

Bahkan menurutnya, AWAN kekal berpendirian bahawa pengisytiharan darurat ketika ini hanya bertujuan mengekalkan kuasa politik PN dan Perdana Menteri yang telah kehilangan majoriti, kredibiliti dan legitimasi.