Malaysia Dateline

AWAN desak Motac, PDRM jalankan siasatan dalang disebalik persembahan tatoo separuh bogel

Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk program yang menampilkan elemen-elemen lucah dan tidak berakhlak yang dipersembahkan dalam penganjuran Tatoo Malaysia Expo 2019 di Kuala Lumpur.

Ketuanya Senator Aiman Athirah Al-Jundi menegaskan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewajarnya menjalankan siasatan ke atas penganjur terbabit.

Katanya, adalah sangat mustahil pihak Kementerian boleh membenarkan Program yang menyalahi seni dan budaya Malaysia itu sendiri.

“Sudah sampai masanya untuk pihak Kerajaan menangani secara serius masalah ‘daulah terpendam’ (deep state) ini dengan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana agensi yang bukan sahaja secara jelas tidak membawa visi dan misi Kerajaan PH, bahkan mengamalkan pula budaya yang berlawanan dengan prinsip dan dasar pentadbiran Pakatan Harapan.

“Jelas ia bercanggahan dengan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Bahkan berlawanan dengan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia yang menjunjung tinggi nilai-nilai kesopanan masyarakat Timur.

“Kebimbangan utama di pihak AWAN Nasional adalah kemungkinan unsur-unsur negatif sebegini akan menular ke seluruh Negara, terutama di kalangan kanak-kanak yang masih belum mampu membezakan baik buruk sesuatu perkara.

“AWAN Nasional juga menggesa pihak Kementerian untuk tidak teragak-agak menggunakan saluran undang-undang terhadap penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 setelah hasil siasatan berjaya membuktikan wujudnya unsur ketidakpatuhan pada syarat yang telah ditetapkan.

“Perkara ini mustahak untuk dijadikan pengajaran sekiranya tedapat juga pihak lain yang berniat menganjurkan program-program seumpama ini pada masa hadapan,” ujarnya.

“AWAN Nasional turut menggesa pihak Polis  untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti dalang di sebalik penganjuran Tattoo Malaysia Expo 2019 ini yang secara jelas ada unsur sabotaj kepada nama baik pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” ujarnya lagi yang menyeru kepada semua Kementerian agar lebih bersifat pro aktif dan agresif kepada sebarang cubaan mencemarkan nama baik kementerian juga kerajaan.

Hari ini Menteri di Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dipetik berkata, beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementeriannya iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCeB) untuk menyiasat perkara tersebut.

Kata Mohammadin apa yang ditontonkan kepada khalayak negara ini, tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan.