Malaysia Dateline

AWAN gesa kaji semula SOP taska elak diskriminasi anak barisan hadapan negara

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional mengingatkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) agar memikirkan pendekatan lebih berkesan dan berperikemanusiaan dalam membantu keluarga barisan hadapan negara yang sedang memerangi jangkitan Covid-19.

Ketuanya, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, KPWKM tidak harus mendiskriminasi anak-anak barisan hadapan seperti syor pengasingan atas tanggapan dangkal kononnya berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 daripada ibu bapa mereka.

Menyifatkan cadangan tersebut sebagai keterlaluan, diskriminasi dan penuh kejahilan, beliau menegaskan prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi operasi taman asuhan kanak-kanak (taska) semasa pandemik Covid-19 mesti dikaji semula.

“Ia suatu yang sangat malang telah dilakukan oleh pihak KPWKM yang seharusnya lebih peka, empati dan mengambil sikap berhati-hati tanpa prejudis terhadap keluarga wirawati dan wirawan barisan hadapan Malaysia melawan Covid-19.

“Ia juga sekaligus satu percubaan menjadikan mereka sebagai kelompok asing dan terpinggir dalam masyarakat, berkecenderungan melahirkan persepsi salah dan negatif terhadap anak-anak barisan hadapan negara.

“Satu percubaan tidak bertanggungjawab untuk memasukkan idea diskriminasi ke dalam fikiran masyarakat bahawa barisan hadapan dan keluarga mereka menimbulkan risiko jangkitan.

“Padahal, dalam masa yang sama pelbagai aktiviti lain seperti ke pasar raya, bersesak menaiki LRT dan seumpamanya pula kekal dianggap dan dilayan seperti biasa!,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negara itu juga mengingatkan takrifan barisan hadapan tidak terhad kepada hanya pekerja kesihatan.

Menurutnya, ramai lagi pihak yang telah membantu melindungi masyarakat dan menjaga negara ini sepanjang krisis pandemik Covid-19 juga merupakan barisan hadapan.

Mereka terbabit, jelasnya, termasuklah polis, angkatan bersenjata, penghantar makanan, pekerja pasar raya, tukang masak restoran, pengawal keselamatan, pembersih, pengutip sampah dan ramai lagi.

“Pengasingan dan pemikiran dangkal seperti ini akan mudah menyebar sekaligus membentuk gagasan pandangan negatif dan diskriminasi berangkai yang kelaknya memberi tekanan emosi kepada mereka yang terlibat menjadi mangsa,” tegasnya.

Terdahulu, lebih 200 pakar pediatrik mendedahkan wujud ketetapan baru yang didakwa ditambah dalam garis panduan KPWKM dengan sebahagian daripada SOP TASKA, di bawah Lampiran 12, Bahagian 2.1.2, menyatakan:

“Anak-anak frontliners adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan daripada ibu bapa mereka. Tempat yang paling selamat untuk anak-anak ini adalah penjagaan di rumah. Walau bagaimanapun, sekiranya anak-anak petugas frontliners dihantar ke Taska, mereka perlu diasingkan daripada anak-anak yang lain.”

Sehubungan itu, Senator Aiman Athirah membidas ketetapan KPWKM tersebut dan menyifatkannya sebagai stamparan hebat kepada semua barisan hadapan serta mengundang gambaran buruk terhadap rakyat dan negara ini.

“Seolah-olah ingin memberi mesej bahawa: ‘Ya kami menginginkan kerja keras anda, pengorbanan anda sepenuh jiwa, namun risiko terhadap kesihatan anda dan keluarga anda sendiri adalah masalah anda dan anak-anak anda juga akan diberi layanan yang sama seperti anda!”.

“Rancangan pemisahan dan pengasingan ini wajar dihentikan segera kerana ia turut bakal menimbulkan pelbagai polemik kemanusiaan dan serangan persepsi lain, di mana KPWKM sendiri secara tidak langsung dilihat sebagai mempeloporinya,” kata Athirah.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan barisan hadapan negara terus berkhidmat dengan ramai kalangan mereka tidak dapat bertemu dengan anak-anak dalam jangkamasa yang panjang sebelum ini.

“Mereka (barisan hadapan negara) telah terpaksa mengasingkan diri, atau meninggalkan anak mereka dengan datuk nenek, untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan,” tambahnya lagi.

Semalam, Menteri KPWKM Datuk Seri Rina Mohd Harun dilapor berkata, SOP taska tersebut adalah melalui perbincangan bersama antara kementeriannya yang tertakluk kepada arahan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya di Putrajaya semalam turut menafikan dakwaan wujudnya pengasingan dan diskriminasi membabitkan anak-anak petugas barisan hadapan yang dihantar ke taska.

Sebaliknya, jelas beliau, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan anak-anak bukan petugas barisan hadapan.

Menurutnya, menerusi langkah itu, anak-anak warga kerja KKM bukan diasingkan tetapi dikhaskan dalam satu tempat dengan perhatian dan pengawasan khusus kepada mereka terbabit mengikut garis panduan Centers for Disease Control (CDC) di Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, Dr Noor Hisham memberitahu SOP berhubung syor tersebut masih belum dibentangkan kepada MKN memandangkan pihaknya sedang mendapatkan maklum balas daripada petugas barisan hadapan berhubung cadangan itu.