Malaysia Dateline

AWAN gesa kerajaan kaji semula hukuman berat langgar SOP Covid-19

Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional menyokong kenyataan Pakatan Harapan yang menolak Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 14 December lalu.

Pengerusi Biro Kesihatan AWAN Nasional, Dr Hafidzah Mustakim menggesa agar kerajaan mengkaji semula jumlah denda maksimum sehingga RM100,000 bagi individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurutnya, pindaan yang menetapkan hukuman pada kadar begitu tinggi berbanding jenayah berat yang lain, mengundang persoalan dan pertikaian ramai pihak

“Bayangkan seorang individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 ringgit atau dipenjara tujuh tahun sekiranya disabitkan kesalahan di bawah akta ini.

“Justeru AWAN Nasional mahukan pindaan akta ini dikaji semula dan mendapat pandangan meluas semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang.

“AWAN menyarankan agar pihak berkuasa lebih mengutamakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih adil kepada semua jauh daripada pendakwaan terpilih, rasuah dan amalan SOP dua darjat yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa telah mencadangkan lima peruntukan baharu terhadap RUU berkenaan.

Ini merangkumi 10 seksyen di bawah Akta 342 yang akan ditambah baik bagi memastikan kesinambungan pengawalan dan pencegahan Covid-19 di negara ini.

Antaranya, mengenakan hukuman kepada individu yang melanggar SOP seperti gagal memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal dengan denda maksimum RM100,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.