Malaysia Dateline

AWAN gesa kerajaan kaji semula PKPB, ambil kira bantahan awam

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menggesa kerajaan agar mengkaji semula keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengambil kira bantahan awam yang dilakukan ketika ini.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah Sabu berkata walaupun syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan meliputi sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial PKPB tidak wajar dilaksanakan secara pukul rata dan tergesa-gesa.

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan secara mengejut dan sama sekali tidak mengambil kira pemetaan zon-zon yang masih berada pada tahap tidak selamat.

“Dalam tempoh 46 hari lalu masih ada di kalangan kita yang tidak patuh terhadap arahan PKP.

“Justeru, bagaimana kerajaan dapat memastikan penguatkuasaan berjalan dengan lancar dalam tempoh PKPB yang lebih banyak pergerakan dan kontak sosial?

“Kami dengan hormatnya memohon kerajaan mengambil kira bantahan awam termasuk sebuah petisyen atas talian yang setakat ini telah berjaya mengumpulkan 330,000 penandatangan agar kerajaan tidak melaksanakan PKPB,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, hampir setengah juta rakyat Malaysia merayu kerajaan membatalkan PKPB berikutan bimbang dengan ancaman Covid-19 yang masih belum berakhir.

Setakat ini, petisyen yang digerakkan Rakyat Malaysia Prihatin dalam platform change.org berjaya meraih sokongan 456,697 pelbagai lapisan masyarakat dengan mensasarkan mengumpul 500,000 tandatangan.

Pada masa sama, Aiman itu berkata, perancangan konstruktif dan kelonggaran PKPB secara berperingkat wajib diperhalusi sebelum sebarang pengumuman drastik dibuat.

Ujarnya, apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah memelihara keselamatan nyawa rakyat dan pada masa yang sama memenangi peperangan dengan meratakan lengkung jangkitan Covid.

“Ini berdasarkan apa yang berlaku di Jepun, Singapura dan Kanada selepas keputusan melonggarkan PKP dibuat terlalu awal daripada tempoh selamat yang sepatutnya

“Semalam Malaysia masih berduka dengan angka kes baharu positif Covid-19 yang mula kembali pada tiga digit direkodkan.

“Sewajarnya, kerajaan meneruskan PKP fasa keempat sebagaimana yang telah dirancang awal dan akan berakhir pada 12 Mei ini,” tegas Aiman lagi.