Malaysia Dateline

AWAN gesa kerajaan pertimbang semula penamatan bayaran insentif perkhidmatan kritikal

Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional menggesa kerajaan mempertimbangkan semula penamatan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Pengerusi Biro Kesihatan AWAN, Dr Hafidzah Mustakim, berkata, hal tersebut perlu dipandang serius ketika sektor kesihatan berhadapan pelbagai masalah yang belum diselesaikan termasuk isu pegawai perubatan kontrak.

Tambahan pula katanya, rakyat termasuk penjawat awam dihimpit dengan cabaran kehidupan termasuk dalam bidang ekonomi dan kewangan.

“Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan alasan bahawa 33 sektor yang dahulunya dikategorikan sebagai perkhidmatan kritikal, kini tidak lagi tersenarai dalam kategori berkenaan.

“Namun, hakikatnya pekerjaan yang mereka lakukan selaku doktor dan perawat di sektor kesihatan adalah begitu kritikal sekali.

“Dengan penambahan bilangan pesakit di fasiliti Awam Kementerian Kesihatan Malaysia, ia meningkat 4.5 kali ganda bersamaan 445 peratus kepada 77 juta daripada 17 juta orang dalam tempoh sedekad (2008-2018).

“Sebagaimana yabg diumumkan dalam Parlimen baru-baru ini, kita boleh membayangkan beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh para doktor baharu yang bakal merawat pesakit kita,” jelas Dr Hafidzah dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, elaun perkhidmatan kritikal yang diberikan kepada penjawat awam di 33 sektor kritikal sejak 1992 baru-baru ini, telah dinilai semula.

Dalam penilaian semula tersebut, elaun sebanyak RM750 dihapuskan untuk doktor dan pensyarah perubatan, doktor gigi dan Pensyarah Farmasi yang baru diambil berkerja bermula tahun hadapan.

Dalam pada itu, Ketua AWAN Kelantan itu menyifatkan pemotongan elaun tersebut secara tidak langsung akan mematahkan semangat mereka bekerja dalam persekitaran yang sedia mencabar.

“Justeru, AWAN Nasional menggesa agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan penamatan pemberian elaun ini atau sekurang-kurangnya menggantikannya dengan satu bentuk elaun lain yang setara,” ujarnya lagi.