Malaysia Dateline

AWAN gesa nitizen hormati Institusi Kesultanan Melayu

Wanita Amanah Nasional (AWAN) menyatakan rasa terkilan dengan sikap segelintir netizen yang cuba mencari populariti murahan dengan menyindir dan membuat komen negatif terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengarah Komunikasi AWAN, Anfaal Saari berkata, beberapa hari lalu, warga maya khususnya pengguna laman mikro Twitter terkejut apabila baginda menyahaktif (deactivate) akaun tersebut yang dikatakan berpunca daripada komen-komen negatif warga maya terhadap baginda.

“Perkongsian baginda dalam aplikasi media sosial selalu mendapat respons positif dalam kalangan netizen kerana keramahan dan sikap spontan baginda ketika mencemar duli dalam program-program Kerajaan dan ketika bertemu rakyat jelata.

“Sewajarnya, keterbukaan dan kasih sayang yang dibawa oleh baginda ini dihargai, bukannya dibalas dengan komen-komen negatif yang langsung tidak membina serta menunjukkan sikap biadab terhadap Institusi Kesultanan Melayu.

“Walaupun baginda tampil menitahkan supaya tindakan netizen yang membuat komen negatif itu tidak dilaporkan kepada polis, namun begitu AWAN Nasional ingin mengingatkan bahawa sikap pemaaf baginda itu tidak boleh diambil mudah oleh netizen,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sikap kritis perlu ditunjukkan dengan pandangan yang membina untuk kemajuan negara, bukannya merosakkan Institusi penting dalam negara ini.

“Media sosial perlu digunakan dengan bijak. Budaya keterbukaan dalam bersuara tidak boleh disalahguna sehingga membawa kepada keretakan dalam perpaduan serta keutuhan negara.

“Justeru, netizen dinasihatkan supaya menilai semula penggunaan media sosial dengan lebih bermanfaat dan bukannya dijadikan tempat untuk menulis apa sahaja tanpa memikirkan kesan buruk kepada diri sendiri,” katanya.