Malaysia Dateline

AWAN Johor desak kerajaan atasi segera kekurangan PPE

Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Johor mendesak agar kerajaan segera mendengar keluhan dari petugas kesihatan yang mendakwa mereka kekurangan set pakaian perlindungan diri (PPE).

Naib Ketuanya, Norhayati Bidin berkata, semalam terdapat aduan di hospital sekitar Johor Bahru yang mendakwa petugas kesihatan terpaksa menjahit PPE mereka sendiri.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa kelengkapan PPE tidak menjadi masalah.

“Kita mahu kerajaan bertanggungjawab dalam mengendalikan permasalahan ini. Perkara ini penting apatah lagi ia membabitkan barisan hadapan yang bertugas sebagai perawat di hospital.

“Kerajaan tidak perlu berdiam diri dan untuk di Johor, Exco Kesihatan perlu mengambil peranan yang mampan dalam usaha mencari sumber tentang kelengkapan ini.

“Hal ini perlu disegerakan memandangkan keadaan keperluan itu mendesak. Janganlah sampai petugas kesihatan terpaksa menjahit sendiri kelengkapan PPE mereka, kerana itu bukan bidang tugas mereka,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dalam masa sama, Norhayati turut menggesa kerajaan mempertimbangkan agar beberapa industri jahitan menjadi tempat untuk menjahit pakaian kelengkapan PPE.

Jelasnya, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah alternatif dan proaktif untuk mengatasi kekurangan PPE untuk petugas kesihatan daripada berlarutan.

Pertama, katanya, arahkan semua pembekal kain (nonwoven) untuk mengeluarkan semua stok yang ada dalam simpanan mereka dengan harga yang terkawal.

Ujarnya, kilang baju pula diarah untuk menjahit PPE tersebut dengan menjadikan mereka ini sebagai “essential”.

“Kilang-kilang ini mempunyai kelengkapan jahitan yang cukup dan mereka boleh menghasilkan PPE yang banyak dalam masa yang singkat,” ujarnya.

Norhayati juga berkata, semua kakitangan hospital perlu dipastikan melaksanakan aktiviti hakiki mereka dan bukan aktiviti menjahit kerana terpaksa untuk keselamatan diri mereka sendiri.

“Ini amat malang kerana, kita telah gagal menggunakan sumber yang ada dengan cara yang efisien dan telah berlaku pembaziran sumber manusia yang serius.

“Kerajaan sepatutnya sudah semakin stabil dalam mengurus PKP fasa 3 ini, bukan terumbang-ambing seperti hilang arah atau punca. Ini adalah suatu yang mendukacitakan semua pihak,” tegasnya lagi.