AWAN Johor disaran bantu kerajaan negeri

AWAN Johor disaran bantu kerajaan negeri

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Johor menyarankan agar ahlinya untuk bergerak membantu kerajaan negeri Johor dari segala aspek.

Ketuanya, Norhayati Bachok berkata, ahli AWAN perlu berani menempatkan diri dalam membantu proses membangunkan negeri Johor.

“Ahli AWAN perlu membuat pertemuan dengan Adun-Adun atau Ahli Parlimen yang menang dari PH di kawasan mereka serta menawarkan diri membantu proses membangunkan kawasan tersebut.

“Selain itu ahli AWAN perlu menawarkan diri untuk membantu sebarang program-program yang dilakukan di kawasan masing-masing melalui pejabat Adun atau Ahli Parlimen dari PH.

“Dalam masa sama, AWAN perlu mendekati golongan masyarakat wanita yang berpengaruh di tempat masing-masing bagi membawa pengaruh AWAN kepada mereka,” ujarnya.

Beliau yang juga Adun Maharani berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen AWAN kali ketiga di Muar semalam.

Norhayati Bachok ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen AWAN Johor Kali Ketiga.

Dalam pada itu, Norhayati turut mengakui bahawa AWAN Johor pada masa ini masih berada dalam ruang lingkup yang terhd dalam kalangan ahli sahaja.

Beliau turut menyarankan agar ahli AWAN perlu berani menampilkan diri di khalayak yang belum tersentuh sebelum ini oleh mereka.

“Saya akui kita masih terlibat dalam aktiviti atau program yang hanya membabitkan ahli kita sendiri dan ia dilihat tidak berkembang. Ini yang menyebabkan AWAN tidak berjaya menambahkan ahli dengan berkesan.

“Penglibatan seperti institusi masjid, surau, kejiranan, taman dan kampung adalah wadah mewujudkan kerjasama antara pemimpin dan masyarakat setempat.

“AWAN Johor juga perlu menjadi agen pelaksana dan penggerak ke arah mencapai kesejahteraan menyeluruh yang diimpikan oleh setiap masyarakat khususnya yang membabitkan bidang kekeluargaan,” tambahnya lagi.

Konvensyen AWAN Johor kali ketiga bertemakan “Wanita Berdaya Membina Negara” itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua AWAN Nasional, Aida Yusof Rawa.