Malaysia Dateline

AWAN Kelantan ingatkan Pas usah pilih bulu ketika beri bantuan

Angkatan Wanita AMANAH Kelantan (AWAN) hari ini menegur sikap sebahagian pimpinan dan petugas Pas negeri itu yang didakwa mengamalkan diskriminasi ketika memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Ketua AWAN Kelantan Dr Hafidzah Mustakim berkata, sejak kempen kibar bendera putih ini tular, sudah ada rakyat yang berada dalam kesusahan bertindak mengibarkan bendera putih sebagai tanda meminta bantuan, tetapi diperlekeh pula oleh pihak tertentu daripada Pas.

“Kita terima banyak aduan dan rungutan dari masyarakat setempat yang mengadu, mereka dikecam dan dimarahi kerana kibarkan bendera putih, sedangkan mereka dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan,” kata Dr Hafidzah.

“Sedangkan sebelum kempen kibar bendera putih ini, sudah ramai rakyat kita yang susah, mereka tidak tahu bagaimana cara untuk minta bantuan, tidak pula dipedulikan oleh Penghulu atau pimpinan Pas di tempat mereka, sedangkan Pas sudah lama jadi kerajaan di Kelantan ini,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak Pas yang memerintah kerajaan negeri supaya mengenepikan sentimen politik dan kepartian sebaliknya bersikap ikhlas dalam membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Musim PKP ini ramai rakyat kita susah. Kenapa perlu bersikap pilih bulu dalam aspek pemberian bantuan?

“Kalian sebagai pemerintah yang ada kuasa dan kewangan, layanilah rakyat kita sama rata, letak tepi dulu sentimen politik,” tegur Dr Hafidzah lagi.

Turut menyokong kempen bendera putih di Kelantan, pihak AWAN menyediakan pasukan AWAN Respon Team (ART) yang merupakan sebahagian dari Team Respon Segera (TRS) sebuah pasukan bantuan yang digerakkan oleh AMANAH Kelantan di seluruh negeri itu.

Menurut Dr Hafidzah, pasukan ART telah bergerak menyampaikan bantuan bakul makanan asasi kepada rakyat yang telah menghubungi mereka untuk memohon bantuan.

Pasukan itu juga menyediakan khidmat sokongan psikologi dan kaunseling kepada pihak keluarga yang menghadapi masalah tekanan emosi terutama berkaitan masalah rumah tangga yang tercetus akibat pelaksanaan PKP yang berlarutan sehingga kini.