Malaysia Dateline

AWAN Kelantan sokong penglibatan lebih ramai wanita dalam pimpinan tertinggi

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Kelantan menyokong penuh langkah AWAN Nasional yang mahu bekas Ketua AWAN Dr Siti Mariah Mahmud dan empat lagi pimpinan wanita bagi mengisi barisan 27 Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional bagi sesi 2019-2022.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, ia selari dengan hasrat perjuangan AWAN yang mahukan penglibatan lebih ramai Wanita dalam pimpinan Tertinggi AMANAH Nasional.

“Saya sokong AWAN Nasional apabila mengemukakan lima orang pemimpin wanita untuk dipilih bagi mengisi 27 kekosongan JKP Amanah Nasional sesi 2019-2022.

“Pencalonan bersasar ini bagi memastikan komposisi wanita dalam ajk tertinggi Amanah bertambah sedikit menjadi 18.5 peratus sekaligus membantu AMANAH Nasional terus cemerlang.

“Dengan ini kami berharap semua perwakilan memilih kelima-lima calon yang terdiri daripada pimpinan AWAN Nasional ini sebagai tanda pengiktirafan kepada penglibatan wanita dalam kepimpinan politik tanah air,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Untuk rekod, lima orang calon AWAN yang dinamakan termasuk Ketua AWAN Negeri Sembilan, Norwani Ahmad; dua Naib Ketua AWAN Nasional, Norhayati Bidin dan Aida Yusof Rawa; dan Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Mariam Abdul Rashid.

Terdahulu, Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah Al Jundi, berkata pergerakan itu berharap lima pemimpin mereka diangkat untuk mengisi jawatan dalam AJK Pimpinan Nasional.

Katanya, tiada sebab untuk perwakilan enggan memilih calon wanita kerana masing-masing mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang tertentu.

Selain itu, Konvensyen AWAN Nasional hujung minggu lalu juga sebulat suara menamakan Dr Siti Mariah sebagai pimpinan wanita yang akan mengisi satu jawatan Naib Presiden yang akan dilantik dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Aiman Athirah berkata, ia selaras dengan semangat awal ketika peruntukan ini dimasukkan ke dalam perlembagaan parti pada awal penubuhannya yang mana beliau turut terbabit ketika itu.