Awan Kelantan sokong tidak ulangi diskriminasi warisan BN

Awan Kelantan sokong tidak ulangi diskriminasi warisan BN

 

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (Awan) Negeri Kelantan menyokong penuh saranan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang mahu diskriminasi politik yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dihapuskan.

Ketua Awan Kelantan, Normala Mohd Nadzar berkata, tindakan mendiskriminasikan rakyat sama sekali tidak menjadikan kerajaan disukai rakyat dan iktibar harus diambil apabila BN ditumbangkan dalam PRU14.

“Kita perlu memberikan sesuatu kepada rakyat berasaskan kelayakan serta keperluan mereka dan bukannya siapa yang mereka sokong,” katanya ketika ditemui selepas majlis ceramah penajaan cawangan AMANAH di Pasir Puteh semalam.

Khalid dalam majlis pertemuan dengan Facebookers dan Bloggers di Kota Bharu pada Sabtu lalu, dipetik berkata, semua pelantikan yang dibuat oleh kerajaan tidak lagi akan berdasarkan kecenderungan politik seperti zaman BN tetapi mengikut kepakaran masing-masing.

Ahli-ahli AMANAH khususnya di kalangan wanita katanya perlu berusaha membantu semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Kita akan berusaha menyelesaikan apa saja masalah yang dihadapi rakyat, tidak kira aliran politik mereka.

“Jika mereka memang layak dibantu, usahakan bantuan untuk mereka melalui agensi-agensi kerajaan yang kini diamanahkan kepada kita.

“Kita mesti yakin dengan dasar “rahmatan lil alamin” yang melihat semua orang perlu didekati dengan kasih sayang.

“Ini akan membuahkan hasil kepada dakwah Islam dan politik masa depan,” katanya.

Cara kerja baharu Pakatan Harapan (PH) ini katanya, memang agak ganjil kepada pihak tertentu yang menggunakan politik kebencian sebagai asas aktiviti mereka.

“Ada yang tidak senang dengan pendekatan seperti ini kerana selama ini permusuhan adalah kaedah yang digunakan untuk mencari keuntungan politik,” katanya.

Beberapa keputusan baru PH katanya menunjukkan perubahan positif dalam meraikan perbezaan.

“Tun Dr, Mahathir Mohamad mengumumkan Ahli Parlimen pembangkang diberikan peruntukan tahunan RM100ribu.

“Pembangkang di Parlimen dan Dun kini diberi peranan dengan melantik mereka dalam jawatankuasa kira-kira awam (PAC).

“Ramai belum sedar dan terus memainkan lagu lama menghentam kerajaan secara buta tuli,” katanya.

Lebih mengejutkan katanya, apabila menteri di jabatan perdana menteri (agama), Datuk Dr Mujahid Yusuf dihentam dari segenap penjuru semata-mata kerana mengambil pendekatan bertanya khabar.

“Golongan LGBT memang tidak akan diiktiraf selama-lamanya bagi orang Islam, tetapi mereka masih lagi manusia dan mereka tetap berhak dilayan sebagai manusia.

“Tujuan menteri adalah mencari jalan mengembalikan mereka supaya kembali normal dan tidak mengganggu orang lain.

“Saya yakin semua orang faham tapi segelintir yang cuba mencari helah untuk menimbulkan kebencian telah memutar belit isu ini,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote