Malaysia Dateline

AWAN Kelantan tanya Zailah kenapa diam isu gurauan rogol

Angkatan Wanita AMANAH Kelantan (AWAN) hari ini menempelak sikap diam membisu yang ditunjukkan oleh pimpinan dari parti yang mengaku pejuang Islam dalam isu gurauan seksual sejak kebelakangan ini.

Ketua AWAN Kelantan Dr Hafidzah Mustakim dalam suatu kenyataan berkata, banyak isu seksual seperti gurauan rogol dan pemeriksaan haid pelajar perempuan secara melampau timbul, tapi masih tiada respon dari Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

“Sebelum ini kita dikejutkan dengan pendedahan isu pemeriksaan haid secara melampau di sekolah, kini gempar pula isu guru membuat gurauan isu rogol sehingga menimbulkan pelecehan seksualiti dalam kalangan pelajar, apa tindakan pihak Kerajaan?” soal Hafidzah.

Jika dahulu semasa menjadi pembangkang Siti Zailah begitu lantang perjuangkan isu aurat pramugari, kini selepas diangkat menjadi timbalan menteri beliau diam membisu seperti terkunci mulut walau pelbagai isu pelecehan seksual kepada wanita timbul.

“Islam mengajar supaya memuliakan dan meletakkan wanita di martabat yang tinggi, namun selepas berkuasa, orang yang mengaku pejuang Islam ini tidak lagi bersuara sepatah pun untuk membela nasib wanita,” ujarnya lagi.

Sepatutnya inilah masa paling sesuai untuk dibentang RUU Gangguan Seksual, malangnya parlimen masih ditutup atas alasan darurat melawan Covid 19, kerajaan terus gagal berfungsi dan akhirnya rakyat yang menanggung susah.