AWAN Kelantan ucap tahniah wanita ketuai KAFA

AWAN Kelantan ucap tahniah wanita ketuai KAFA

Bibi Ramjani Ilias Khan dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA).

Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Kelantan merakam ucapan tahniah kepada Bibi Ramjani Ilias Khan yang telah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA) 17 September lalu.

Normala Mohd Nadzar

Ketua AWAN Kelantan, Normala Mohd Nadzar berkata pelantikan ini menunjukkan penerimaan terhadap kepimpinan wanita walaupun dalam bidang bola sepak yang jelas didominasi kaum lelaki.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau di atas pelantikan tersebut.

“Saya difahamkan bahawa inilah kali pertama seorang wanita dilantik menjawat kedudukan yang penting dalam organisasi bola sepak di negeri ini,” katanya.

Menurut Normala beliau berkeyakinan penuh Bibi Ramjani dapat memikul tanggungjawab ini dengan cemerlang.

“InsyaAllah kepimpinan beliau akan dapat membantu pasukan Kelantan mencapai kejayaan yang pernah diraih sebelum ini,” katanya.

Ahad lalu Bibi Ramjani dipilih sebagai Presiden KAFA dalam satu kongres yang diadakan di Kota Bharu.

Beliau mendapar 32 undi mendahului pesaingnya Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang mendapat 16 undi.

Kongres tersebut berlangsung pada pukul 3 petang dan berakhir kira-kira 9.15 malam.

Bagi jawatan Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah berjaya mempertahankan jawatan selepas mengumpul 39 undi, sekali gus menewaskan pencabarnya iaitu Datuk Rosmadi Ismail yang sebelum ini merupakan Naib Presiden yang mendapat 27 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, Datuk Aizuddin Nik Abdul menang dengan mendapat 39 undi, mengalahkan Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir (27 undi) dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim (21 undi), manakala dua calon lain iaitu Azman Ibrahim dan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz menarik diri di saat-saat akhir sebelum pengundian bermula.

Selain itu, 10 muka baharu turut dipilih sebagai Exco Eksekutif KAFA iaitu Datuk Mohd Rowi Dollah (51 undi), Wan Rakemi Wan Zahari (42 undi), Nubli Ab Latiff (40 undi), Datuk Shaari Mat Husin (37 undi), Zulkifli Omar (37 undi), Akmal Ahmad Tabarani (33 undi), Mohammad Ausri Husin (29 undi), Azrul Mohd Zawawi (28 undi), Mohamed Fareez Nor Amran (26 undi) dan Datuk Azam Ismail (24 undi).

CATEGORIES
TAGS