Malaysia Dateline

AWAN kemuka pendirian pinda perlembagaan PH angkat martabat wanita

Berdasarkan perkembangan terbaharu, Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) hari ini mengemukakan pendiriannya kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tentang pindaan perlembagaan PH berkaitan kedudukan dan peranan wanita.

Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi, berkata struktur tersebut juga dilihat akan mengangkat fungsi dan peranan wanita ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus meletakkan kaum Hawa di landasan arus perdana.

“Memperakukan struktur pada tiga peringkat kepimpinan rasmi PH sepertimana Perlembagaan Asal pada 18 Mei 2018, dengan tambahan memasukkan Ketua Sayap-Sayap parti komponen PH sebagai anggota kepada majlis pimpinan di setiap peringkat.

“Majlis Presiden PH di peringkat nasional, Majlis Pimpinan Negeri PH di peringkat negeri-negeri, manakala Majlis Jawatankuasa Penyelaras Parlimen PH di peringkat kawasan.

“Struktur berkenaan diyakini lebih mudah dan mengurangkan pergeseran serta politik dalaman yang tidak perlu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 14 Februari lalu, AWAN yang diketuai oleh Aiman Athirah menyerahkan memorandum kepada Majlis Presiden PH yang diterima oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Penyerahan memorandum itu bertujuan mengemukakan cadangan Pindaan Perlembagaan Pakatan Harapan dengan memasukkan secara jelas tafsiran, kedudukan, keanggotaan, urus tadbir, tugas, kuasa dan tanggungjawab ‘Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Harapan’ serta beberapa perkara penting yang berkaitan.