Malaysia Dateline

AWAN kongsi 12 tips hadapi Ramadan buat umat Islam

Telah bermula bulan Ramadan yang agung, umat Islam seluruh dunia sedang menjalani bulan yang sarat dengan pengisian rohani dan spiritual sementara berlapar dahaga dari segi fizikal di siang hari.

Ramadan kali ini teramat unik dan berbeza daripada sebelumnya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita jalani dalam usaha menangani wabak penyakit Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pendekatan terbaik adalah persediaan holistik merangkumi aspek jasad/fizikal, emosi, rohani, intelek dan sosial seseorang.

Ikuti tips berikut yang menyentuh persediaan fizikal agar Ramadan kita berkualiti.

1. Buat Persediaan Awal

Buat persediaan awal untuk perancangan setiap hari. Termasuk perancangan menu sahur dan berbuka.

2. Selaraskan jadual aktiviti seharian seperti tidur, riadah dan ibadah

Mula sesuaikan waktu tidur selaras dengan bulan Ramadan. Ini bermakna tidur awal kerana kita akan bangun awal untuk sahur.

3. Minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi ( kekeringan air)

Kajian menunjukkan bahawa tubuh manusia dapat bertahan tanpa makanan selama berminggu-minggu, tetapi hanya dapat bertahan selama beberapa hari tanpa air. Pakar mencadangkan agar kita minum sekurang-kurangnya dua liter air (8-10 gelas) pada bulan Ramadan. Peminat kopi dan teh perlu tahu bahawa minuman teh dan kopi tidak memenuhi keperluan harian air seseorang.

4. Makan dengan perlahan

Makan dengan perlahan akan membantu perut kita mencerna makanan dengan mudah, kerana pencernaan bermula di mulut. Ingat bahawa otak mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk mula memberi isyarat perasaan kenyang. Oleh itu mengunyah makanan perlahan-lahan akan mengelakkan kita terlebih makan.

5. Banyakkan protein dan kalsium

Pastikan kita mengambil makanan yang cukup protein dan kaya kalsium seperti ikan , daging, produk tenusu seperti susu, kekacang dan telur.

6. Kurangkan masin dan makanan berempah

Makanan yang masin, pedas dan berempah tidak digalakkan pada bulan Ramadan kerana boleh menyebabkan dehidrasi atau kekeringan air dalam badan pada siang hari.

7. Ambik makanan ringan yang sihat untuk meningkatkan tenaga anda

Pengambilan makanan ringan yang sihat seperti kacang, buah kering dan kurma bukan sahaja dapat meningkatkan tenaga anda tetapi juga akan memberi nutrien yang sihat untuk tubuh anda.

8. Banyakkan makanan berserat

Perubahan dalam rutin harian seperti Ramadan boleh memberi kesan negatif terhadap pergerakan usus. Ini dapat dicegah dengan memperkaya makanan kita dengan makanan kaya serat termasuk bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.

9. Elakkkan makan berlebihan

Ramai yang terperangkap merasakan bahawa kita berpuasa menahan lapar pada siang hari; maka malamnya diisi dengan makan tanpa henti. Sentiasa kawal nafsu makan untuk mengelakkan kenaikan berat badan dan memastikan pencernaan makanan berlangsung dengan lebih baik.

10. Amalkan bersahur

Jangan sesekali tinggal sahur. Kita dianjurkan untuk melewatkan sahur. Sahur dan makan pagi adalah waktu makan yang paling penting kerana kerana ia menghalang penurunan kadar metabolisma kita . Sahur akan menyediakan dan menguatkan tubuh badan kita. Roti dan bijirin serta kurma disarankan masa sahur untuk mengekalkan kadar gula dalam paras optima sepanjang hari.

11. Kekal aktif

Ramai di kalangan kita yang cenderung kurang aktif pada bulan Ramadhan. Berjalan kaki selepas berbuka puasa disyorkan untuk mengelakkan penurunan kadar metabolisma tubuh disamping membakar kalori tambahan. Pada musim PKP ini perlu difikirkan senaman ringan selain solat terawikh yang mesti dilakukan di rumah bersama ahli keluarga

12. Rujuk dan dapatkan nasihat doktor sekiranya memerlukan.

Setiap kita mungkin mempunyai keperluan dan keupayaan yang berbeza. Bagi yang sedang mengambil ubat-ubatan untuk merawat penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi , amat penting untuk kita berbincang dengan doktor dan mendapat nasihat dalam menghadapi Ramadan .

Kesederhanaan adalah kunci bagi memastikan tubuh dan sistem pencernaan kita kekal optima pada bulan suci Ramadan.

 

Biro Kesihatan AWAN Nasional

#ramadanterbaikpenuhmakna #awanasional #kitajagakita