Malaysia Dateline

AWAN kutuk gangguan terhadap wartawan bertugas

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) mengutuk keras gangguan dan kecaman netizen terhadap seorang wartawan Malaysiakini berhubung berita yang ditulisnya selepas sidang media bersama Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi AWAN, Anis Afida Mohd Azli, berkata, tindakan wartawan tersebut bertanya soalan di luar sidang media adalah menjadi amalan biasa.

Malah, ia sama sekali tidak menyalahi etika kewartawanan apatah lagi berita yang disiarkan itu merupakan fakta yang disebut oleh menteri berkenaan.

“AWAN berpandangan bahawa petugas media perlu diberi ruang dan kebebasan yang sewajarnya untuk menjalankan tugas mereka.

“AWAN sangat kesal dengan tindakan segelintir pihak yang membuli wartawan itu di laman sosial dan menjadikan isu perkauman dan gender sebagai topik utama sehingga menenggelamkan topik asal yang ingin disampaikan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, wartawan wanita Kow Gah Chie, dikecam apabila dikatakan berita yang ditulisnya itu sama sekali tidak ditanya ketika live sidang media bersama Menteri berkenaan.

Namun difahamkan, wartawan terbabit bertemu dengan Menteri tersebut selepas tamat sidang media.

Dalam pada itu, Anis beranggapan adalah tidak wajar untuk Menteri terus berdiam diri dan membiarkan netizen membuli dan menghukum petugas media tanpa kesalahan yang jelas di bawah undang-undang.

Beliau turut merujuk kepada Perkara 10 dalam Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin Hak Asasi Manusia kepada semua warganegara Malaysia tidak terkecuali kepada petugas media.

Sehubungan itu, katanya, AWAN mencadangkan agar semua pengamal media yang diganggu untuk membuat laporan polis terhadap individu atau pihak yang melakukan tindakan melampaui batas agar menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Justeru, tindakan tidak matang segelintir netizen yang menjadi samseng di media sosial perlu dihentikan oleh semua pihak kerana ia boleh membawa kepada tekanan dan situasi tidak harmoni dalam masyarakat dan individu yang menjadi mangsa,” ujarnya.