Malaysia Dateline

AWAN mahu budaya buli dihapuskan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor hari ini menggesa siasatan telus dilakukan ke atas institusi pendidikan dalam isu buli yang mengancam keselamatan para pelajar.

Ketuanya, Nor Hayati Bachok berkata, kajian yang menyeluruh juga perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat awal berhubung dengan kes buli di beberapa asrama di sekolah.

Beliau yang merujuk kepada kes buli yang tular berlaku di salah sebuah asrama dalam negara baru-baru ini telah menyentuh perasaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Bukan sahaja kritikan dan tindakan terhadap pembuli untuk kita selesaikan masalah seperti ini malah lebih daripada itu.

“Contoh yang boleh diambil seperti memberikan bimbingan kaunseling dalam membentuk sahsiah dan jati diri remaja yang melakukan buli tersebut agar mereka terdidik memhormati rakan sebaya dan menghindari buli.

“Kita tidak boleh mengambil peranan menghukum semata-mata tanpa mendidik remaja tersebut menjadi insan yang mampu membantu masyarakat semula,” jelasnya.

Dalam kes buli yang berlaku itu, empat pelajar yang dipercayai menjadi suspek utama kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar yang rakaman videonya menjadi tular, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keempat-empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

Nor Hayati walau bagaimana pun bersetuju tindakan undang-undang harus diambil kepada pelaku berdasarkan siasatan polis dan ia bukan sekadar hukuman semata-mata tetapi lebih utama mencari solusi menyeluruh budaya tersebut di sekolah berasrama dalam negara ini.

“Kita juga risau berkenaan dengan masa depan para pelajar yang terlibat dalam kejadian buli yang mungkin kekurangan bimbingan dan perhatian.

“Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengesan kegiatan buli di asrama ini serta mengenalpasti intervensi bersesuaian bagi mencegah buli daripada terus berlaku dan menjejaskan suasana kondusif untuk proses pembelajaran di sekolah,” jelasnya lagi.