Awan Nasional ajak rakyat sertai himpunan mansuh GST esok

Awan Nasional ajak rakyat sertai himpunan mansuh GST esok

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan Nasional) mengajak rakyat menyertai himpunan aman ‘Undur Najib Mansuhkan GST’ di ibu negara esok bagi membantah cukai barangan dan perkhidmatan yang genap setahun dilaksanakan.

Pengarah komunikasi Awan Nasional, Fareedah Samad berkata, rakyat harus membantah GST kerana kerajaan gagal membuktikan pelaksanaan cukai ini berjaya meningkatkan taraf hidup kebanyakan rakyat di negara ini.

Sebaliknya GST kata beliau, memberi beban kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Awan Nasional mengajak rakyat turun bersama-sama dalam himpunan bantah GST esok sebagai signal kepada pemimpin kerajaan Umno BN yang berterusan menekan ekonomi rakyat,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Menurut beliau juga, pelaksanaan GST yang dikatakan mampu memacu ekonomi negara ke arah lebih baik dilihat tidak mencapai matlamatnya apabila dalam Bajet 2016, peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan pengajian tinggi dikurangkan.

“Rakyat tidak mahu kerajaan menjadikan hasil kutipan GST sebagai jaminan bahawa mereka masih mampu melaksanakan projek-projek mega yang tidak memberi manfaat yang signifikan kepada rakyat terbanyak seperti pembinaan menara berkembar warisan.

“Sedangkan pada hakikatnya ekonomi negara perlu dipulihkan dan kuasa beli rakyat perlu ditingkatkan. Mana mungkin kuasa beli rakyat ini mampu meningkat dengan pelaksanaan cukai zalim GST ini,” katanya.

Himpunan esok akan bermula pada jam 2 petang dan dijangka berakhir secara aman pada jam 6 petang.

Mereka akan berhimpun di tiga tempat iaitu Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Sultan dan Pasar Seni kemudian bergerak ke Sogo sebelum berhimpun di Dataran Merdeka.

TAGS