Malaysia Dateline

AWAN Nasional lakukan ziarah medik pertama dalam misi bantuan banjir

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) hari ini melakukan ziarah medik pertama dalam Misi Bantuan Banjir AWAN ke Kelantan.

Pengerusi Biro Kesihatan AWAN Nasional, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pesakit pertama yang ditemui mengalami demam sejak tiga hari lalu.

Namun setelah memastikan pesakit tersebut bebas Covid-19 melalui ujian saringan, AWAN segera memberikan bantuan rawatan dan ubat-ubatan.

“Memang menyedihkan melihat isteri dan anak-anak yang terpaksa melaksanakan kerja-kerja pembersihan rumah yang ditenggelami air sementara suami pula sakit tidak dapat membantu.

“Kami bertemu pula seorang warga OKU yang berkaki palsu akibat penyakit urat darah dan saraf yang menimpa sehingga sebelah kaki terpaksa dipotong.

“Tekun kami mendengar detik-detik cemas beliau menyelamatkan diri apabila air mulai naik awal malam Sabtu lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama kata Hafidzah, kisah seorang penduduk dikenali sebagai Puan R yang tinggal berdekatan juga mengharukan.

Puan R yang terpaksa bergantung hidup dengan Peritoneal dialisis (PD), cuci buah pinggang di lapisan perut menyatakan rasa syukur kerana terselamat walaupun sebahagian peralatan rawatan buah pinggangnya musnah.

Menurutnya lagi, rata-rata penduduk yang ditemui menyambut baik perkhidmatan yang diberikan AWAN sekaligus menunjukkan keprihatinan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu atas nasib yang menimpa rakyat.