Awan Nasional mahu KPM, PDRM ambil tindakan ke atas penganjuran Debat PTR

Awan Nasional mahu KPM, PDRM ambil tindakan ke atas penganjuran Debat PTR
Anfaal Saari

AWAN Nasional menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Piala Tun Razak (PTR) yang berakhir pada 13 Oktober 2019.

Timbalan Ketua dan Pengarah Komunikasi Anfaal Saari berkata, hanya dengan permohnonan maaf oleh panel pengadil debat Bahasa Inggeris itu, KPM dan Polis perlu mengenalpasti dalang disebalik penganjuran PTR 2019 tersebut.

” Walaupun kenyataan permohonan maaf telah dikeluarkan oleh panel pengadil debat Bahasa Inggeris, Saudara Mohammad Aidil bin Ali dan Iyad Zakir Amal, KPM wajar mengambil langkah tegas.

“Ini kerana para peserta merupakan para pelajar Tingkatan 1 hingga 3 Sekolah-sekolah Berasrama Penuh seluruh Malaysia berada di bawah tanggungjawab KPM.

“Pihak polis juga digesa untuk menjalankan siasatan rapi bagi mengenalpasti dalang di sebalik penganjuran PTR 2019 ini yang secara jelas ada unsur sabotaj kepada nama baik pihak KPM,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anfaal lagi, KPM perlu bertanggungjawab dengan memanggil semula kesemua peserta yang terlibat dalam Program berkenaan untuk diberikan penjelasan berkenaan pendirian pihak Kerajaan dalam isu ini dan mendapatkan maklumbalas dari semua pihak.

“Awan Nasional mencadangkan sekiranya terdapat keperluan selepas siasatan polis selesai, agar pihak penganjur pada siri debat akan datang ditukar kepada organisasi yang lebih layak serta beretika.

“Penganjur selaku warga Malaysia bertanggungjawab mempengaruhi pemikiran para pelajar ini supaya berfikiran kritis dan dalam masa yang sama tidak menggunakan penghujahan yang melampaui batas agama dan moral,” ujarnya.

Sebelum ini, tular tangkap layar grup WhatsApp bernama IbuBapa F5 SMAPK 2017 memaparkan perbualan berkaitan isu tajuk debat berkenaan.

“Semalam telah berlangsung Debat Piala Tun Razak. Debat ini menggunakan tajuk homoseksual (topik dua dan tiga). Tajuk debat ini mengatakan bahawa Islam tidak menghalang homoseksual.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam debat bagi pelajar sekolah. Dalam situasi ini seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang telah dipaksa menyokong tajuk tersebut. Seorang pelajar beragama Islam terpaksa mendukung tajuk menulis semula al-Quran. Apa logik di sini?” soalnya.

Menerusi tangkap layar itu juga, ia turut mendakwa perkara itu sebagai satu bentuk penindasan dalam kebebasan beragama.

Terdahulu, juri bagi pertandingan melalui satu kenyataan memohon maaf kepada pihak terbabit terhadap apa yang berlaku.