Awan Negeri Sembilan syorkan cadangan pembangunan belia wanita, ibu tunggal, suri rumah

Awan Negeri Sembilan syorkan cadangan pembangunan belia wanita, ibu tunggal, suri rumah

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Negeri Sembilan mengesyorkan beberapa perkara dalam usaha membantu Kerajaan Negeri yang mengutamakan aspek pentadbiran berintegriti dan pembangunan seimbang dari segi keupayaan, kebertanggungjawapan dan ketelusan.

Ketua Awannya Norwani Ahmad berkata, Awan mencadangkan agar perancangan yang dibuat oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan tidak mengenepikan belia wanita.

Selain kajian keperluan terhadap sesuatu program perlu dilaksanakan terlebih dahulu agar ia benar-benar mengisi keperluan belia masa kini.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani pula berkata, beliau menyambut baik cadangan yang dibawa oleh Awan Negeri Sembilan.

“Insya-Allah, terima kasih atas kunjungan dan saranan yang diberikan. Saya akan beri perhatian dan bincangkan di peringkat Exco,” ujar Mohamad Taufek.

Awan juga berkesempatan untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikan Exco Pertanian Asas Tani Negeri Sembilan Bakri Sawir.

“Awan turut mengucapkan tahniah atas perlantikan dan mencadangkan beberapa perkara untuk perhatian.

“Kami ingin menyarankan agar pihak Exco Pertanian Asas Tani mewujudkan program-program “Go Green” yang boleh diisi oleh kaum wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal dan orang miskin,” kata Norwani.

Tambahnya lagi, ia bagi menjadikan “usahatani” di kawasan sekeliling rumah sebagai usaha mendidik rakyat untuk berdikari dan meningkatkan ekonomi keluarga.

“Selain itu, program kitar semula perlu disemarakkan di semua peringkat di Negeri Sembilan.” ujarnya yang disambut baik oleh Bakri.

Dalam perkembangan berkaitan, Awan Negeri Sembilan turut mengunjungi  Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon

“Awan bersedia menjalankan kolaborasi dan menjadi tenaga penting bagi membantu merealisasikan program-program kebajikan, pembangunan dan pengupayaan wanita dan kekeluargaan di Negeri Sembilan di bawah Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan,” kata Norwani Ahmat.

Usulan yang dikemukakan itu disambut baik dengan penuh harmoni oleh Nicole.

“Saya hargai segala cadangan dan tawaran yang diberikan. Inilah yang saya perlukan untuk melancarkan lagi gerak kerja kami di jabatan ini,” ujar Nicole.

Wanita Awan Negeri Sembilan yang diketuai Norwani  bersama 10 orang delegasi Awan telah bersama dalam kunjungan hormat tersebut.

“Awan bersedia untuk membantu Kerajaan Negeri memacu program-program yang mengkhusus kepada pembangunan belia, pengupayaan wanita, pendidikan, pertanian dan lain-lain aspek yang memerlukan keterlibatan wanita,” katanya.

Norwani turut berkata, Awan bersedia ditempatkan di portfolio yang bersesuaian dengan kepakaran dan keupayaan bagi memacu perubahan dan mengisi kemenangan di Negeri Sembilan agar Kerajaan Negeri lebih terkehadapan dalam melaksanakan Manifesto Pakatan Harapan.

Awan juga merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Aminuddin Harun dan barisan Exco Kerajaan Negeri yang telah dilantik baru-baru ini.

“Awan Negeri Sembilan merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Tuan Haji Aminuddin Harun atas pelantikan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu serta semua Barisan Exco yang telah dilantik.

“Beliau berkata, Awan Negeri Sembilan berharap semoga akan berlakunya angin perubahan yang terbaik buat rakyat Negeri Sembilan selepas berakhirnya PRU-14,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

 

 

CATEGORIES
TAGS