Awan P.Pinang desak kerajaan serius tangani perkahwinan bawah umur

Awan P.Pinang desak kerajaan serius tangani perkahwinan bawah umur

Aida Yusuf Rawa

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (Awan), Aida Yusof Rawa mendesak kerajaan supaya lebih serius menangani isu perkahwinan melibatkan gadis bawah umur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkahwinan seorang peraih getah dari Gua Musang, Che Abdul Karim Che Hamid, 41 tahun yang berkahwin dengan seorang gadis berusia 11 tahun untuk dijadikan isteri ketiganya pada 18 Jun yang lalu.

Jelas Aida lagi, Awan Pulau Pinang memandang serius perkara ini dan menyeru kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan drastik dalam isu ini.

“Arahan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapatkan laporan segera mengenai perkahwinan ini amat dihargai.

“Namun begitu kita mahu agar ada enakmen tertentu yang boleh diguna pakai samada oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing maupun agensi kerajaan terlibat bagi menjaga kepentingan gadis bawah umur yang dinikahkan.

“Sememangnya tidak ada halangan dari segi hukum dan peraturan agama Islam, namun begitu bagi memberi keadilan kepada gadis bawah umur yang dinikahkan maka semua aspek perlu diberi perhatian, ” ujarnya lagi.

Oleh kerana itu kata Aida lagi, kerajaan harus memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan dan pelajaran kepada anak-anak walaupun hidup dalam kemiskinan.

Malah jelasnya lagi, banyak agensi kerajaan negeri dan juga pusat yang telah diwujudkan bagi membantu keluarga miskin yang memerlukana pembelaan.

Sehubungan itu tegasnya, peranan besar mesti dijalankan oleh masyarakat termasuklah jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, jawatankuasa kariah masjid dan surau serta wakil rakyat sedia ada untuk turun padang dan kerap mendekati golongan marhaen.

Sekiranya kekerapan ini dapat dilakukan tanpa bermusim, masalah terpencil yang jarang ditemui akan dapat dikenal pasti.

Baru-baru ini tular perkahwinan pasangan tersebut melalui laman sosial ‘facebook’ milik isteri kedua lelaki tersebut, Siti Nor Azila Zulkifle.

Beliau sempat mengucapkan tahniah diatas perkahwinan ketiga suaminya walaupun mendakwa beliau dan empat anaknya dipinggirkan.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS