Malaysia Dateline

AWAN perjuangkan pembudayaan politik nilai, mendidik dan khidmat

Saya percaya sebagai wanita kita perlu terus meraikan apa yang kita miliki dan berkongsi, dan berhenti membiarkan masyarakat fokus pada apa dan bagaimana kita barangkali berbeza.

Apabila kita berjaya menemukan kekuatan dan fokus pada keinginan itu, wanita akan lebih berjaya menghadirkan perubahan dalam memimpin dan membangunkan negara.

Kita memerlukan pemimpin yang dapat menyatukan negara meski rencam dengan kepelbagaian, bukan sebaliknya memisahkan atau memecahbelahkan kita.

Kita memerlukan pemimpin yang benar-benar dapat membuka lebih banyak ruang untuk suara wanita didengar.

Kita memerlukan pemimpin yang dapat mendemokrasikan kisah siapa kita sebagai entiti penting negara, bukan sebaliknya terus membiarkan kita kekal dalam stereotaip sosial yang merugikan, bahkan membawa kembali dalam nostalgia silam.

Wanita berpotensi mengubah cara penggunaan kuasa di dunia untuk kesejahteraan semua.

AWAN tidak berminat dengan wanita yang mengambil alih paradigma kuasa lama.

Kami percaya semua orang akan mendapat keuntungan apabila wanita tidak hanya menyertai lelaki di meja perundingan, tetapi juga membantu lelaki mengubah dasar, program dan sistem yang bias dan pincang, sekaligus bersama-sama membuat sesuatu yang baharu dan saksama untuk kesejahteraan dan kemakmuran dunia.

AWAN mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama memberi tumpuan, penekanan dan keutamaan kepada pembudayaan politik nilai, politik mendidik dan politik khidmat.

Bukan sebaliknya terus-terusan membiarkan diri dan masyarakat kita dirosakkan dengan politik propaganda, politik adu domba, politik fitnah dan politik kebencian kaum dan agama, yang sekian lama telah melambatkan proses sebenar pembangunan dan kemajuan negara.