Malaysia Dateline

AWAN Perlis desak MP Padang Besar bela nasib pelajar miskin

AWAN Perlis mendesak Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin supaya memberi lebih tumpuan terhadap pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan khususnya dalam mendapat akses jaringan internet apabila pelajar terpaksa belajar secara atas talian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berkesudahan.

Menurut Ketua AWAN Perlis, Che Mazlina Che Yob, sepatutnya pelajar-pelajar dalam kawasan Parlimen Padang Besar sudah mendapat akses jaringan internet secara menyeluruh sekiranya wakil rakyat kawasan tersebut serius menangani masalah jaringan memandangkan beliau adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

“Sepatutnya kerajaan negeri Perlis mengambil inisiatif serius apabila banyak aduan membuktikan pelajar tidak mempunyai akses kemudahan wifi atau jaringan internet ekoran tiadanya capaian internet di kebanyakan kawasan.

” Antara keluhan yang diterima AWAN, ada pelajar yang miskin tidak mampu untuk mempunyai telefon atau tablet yang boleh digunakan untuk pembelajaran online.

” Selain itu terdapat juga pelajar yang tidak mempunyai peranti terpaksa menunggu ibu atau bapa pulang dari kerja untuk menggunakan peranti tersebut, masalah data dan seumpamanya sehinggakan mereka tidak dapat ikut sama kelas online yang diadakan oleh guru-guru,” kata beliau.

Jelas Che Mazlina lagi, sepatutnya Perlis sudah mampu untuk mendapat kemudahan jaringan tersebut dengan dokongan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Besar.

Malah kata beliau lagi, peranti untuk Pdpr sepertimana yang dilaung-laungkan oleh kerajaan juga sepi berlalu begitu sahaja.

Sehubungan itu ujarnya Zahidi selaku Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Exco Pendidikan negeri Perlis sepatutnya mengambil tindakan segera dengan turun padang mendengar sendiri luahan para guru, ibu-bapa maupun para pelajar yang tidak berjaya mendapat akses kemudahan internet.