Awan Perlis teruskan agenda sosial bantu rakyat

Awan Perlis teruskan agenda sosial bantu rakyat

Che Mazlina Che Yob

Walaupun tidak menjadi sebuah kerajaan di negeri Perlis, AMANAH peduli terhadap segala masalah yang dihadapi oleh golongan memerlukan sebagai  agenda sosial yang perlu diteruskan.

Menurut Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negeri Perlis (Awan), Che Mazlina Che Yob, gerak kerja turun padang sehingga ke akar umbi masih lagi diteruskan sehingga sekarang.

Malah katanya, yang terkini ialah mendekati warga emas uzur yangn terlantar serta menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Selain itu ujarnya, saban hari Awan juga mengambil peduli keluhan sebuah keluarga dimana nenek yang sudah tidak bermaya terpaksa menjaga cucu yang masih bersekolah ditinggalkan ibu mereka.

“Masalah demi masalah masyarakat tidak pernah menjadi halangan untuk Awan Negeri Perlis meneruskan agenda membantu siapa sahaja yang terdaya.

“Yang penting bagi Awan ialah turun padang dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mana-mana golongan masyarakat yang didekati.

“Dengan kehadiran Awan secara rutin ia membuktikan bahawa sokongan bagi menyelesaikan masalah rakyat bukan hanya ketika menjelang pilihan raya umum, tetapi juga berterusan sehingga kini, ” tegasnya lagi.

Tambah Che Mazlina lagi, rutin mendekati pelbagai golongan masyarakat merupakan jadual yang telah sedia ada bagi Awan Negeri Perlis.

“Bersama-sama dengan pimpinan Awan Negeri Perlis, setiap masalah yang diadukan dan didengari merupakan satu tugas yang perlu diselesaikan.

“Dalam masa yang singkat, keluarga terbabit maupun individu yang menghadapi masalah tersebut akan didekati bagi mendapatkan makluman terkini.

“Selepas itu maka bentuk sokongan dan keperluan bagi mengatasi masalah yang dihadapi akan diberi pertimbangan untuk disokong melalui beberapa saluran yang ada, ” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Che Mazlina, Awan Negeri Perlis akan tetap meneruskan aktiviti sosial, mendengar keluh-kesah golongan marhaen yang memerlukan serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Katanya lagi, bantuan yang telah diberikan juga melibatkan bencana dan musibah seperti ribut, kebakaran, banjir, kematian, kemalangan dan lain-lain sokongan lagi.

Che Mazlina (kanan) bersama AJK Awan Perlis menziarahi warga emas yang terlantar sakit.