Walau apa pun yang terjadi, agenda peduli rakyat tetap diteruskan oleh AWAN Negeri Perlis sebagai salah satu tanggungjawab terhadap masyarakat yang memerlukan.
Menurut Ketuanya, Che Mazlina Che Yob, setiap Jumaat sebanyak lima buah keluarga yang terdiri dari warga emas, mereka yang sakit atau tinggal seorang diri setelah anak-anak berada jauh akan disantuni.
Malah kata beliau, aktiviti pagi dan petang akan bergerak ke setiap kediaman keluarga terbabit yang telah dikenal pasti tanpa mengambil kira samada mereka terdiri dari golongan wanita maupun lelaki.
“Pada waktu pagi AWAN Negeri Perlis akan menyediakan makanan tengahari kerana sememangnya warga emas amat suka kerana mereka berada dalam kesunyian tatkala itu.
“Apabila turun padang kami akan hidangkan makanan, tolong masakan nasi dan hidangkan kepada mereka.
“Manakala pada waktu petang, kami akan turut makan bersama semasa berada pada rumah terakhir atau rumah kelima yang dilawati, ” jelasnya.

Beliau juga berkata, aktiviti sedemikian terbukti telah berjaya menimbulkan rasa kasih sayang dan ukhwah sesama mereka yang dilawati.
Disamping itu ujarnya, AWAN Negeri Perlis turut mengambil inisiatif dengan mengemas rumah kediaman yang diziarahi serta mendapatkan bantuan anak muda seandainya terdapat kediaman yang tidak terurus seperti tumbuhan liar dan rumput yang tinggi.
“Sekiranya ada rumah yang daif dan memerlukan sokongan serta bantuan, maka usaha akan diambil dengan menyalurkan maklumat yang diperlukan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat maupun Baitulmal.
“Sementara itu program mangkuk tingkat yang dilaksanakan oleh AWAN Negeri Perlis bertujuan untuk mengamalkan konsep 3R iaitu ‘Reused, Recycle dan Reduce’ mengurangkan penggunaan polisterin serta plastik.
“Juga diamalkan bacaan doa setiap kali kunjungan dilakukan bagi mendapat keredhaan Ilahi dan keberkatan untuk kedua-dua belah pihak, ” tambah beliau.