Malaysia Dateline

AWAN pertegas pertahan, ambil semula mandat rakyat

Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Nasional menegaskan Pakatan Harapan (PH) harus mengambil semula mandat yang diberi oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, PH harus terus berusaha mempertahankan kepentingan rakyat atas prinsip keadilan dan progresif.

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan kerjasama bersama individu yang berkait rapat dengan jenayah dan khianat harus dinyahkan sama sekali.

Tegasnya, PH harus terus berusaha tanpa menghadkan hanya kepada satu pilihan politik sahaja sebaliknya mesti diperkuat bagi mengambil semula mandat rakyat.

“PH kini wajar memberi banyak fokus bagi menyelesaikan isu dan masalah rakyat serta AMANAH boleh menjadi model kepada parti-parti lain dalam pelbagai isu sepertimana yang sedang dipraktikkan hingga kini.

“Sebaliknya, PH mesti di ‘rebranding’ semula dan perbincangan serius termasuklah mengenai dasar serta manifesto menjelang pilihan raya umum mesti dipersetujui oleh semua parti dan perlu dipertahankan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Konvensyen Nasional AWAN kali ke-5 di Pusat Konvensyen Bayou Lagoon di Bukit Katil, Melaka pagi ini.

Serentak berlangsung di lokasi sama adalah Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional.

Athirah turut menegaskan PH harus memastikan agihan kerusi hanya kepada calon-calon yang berwibawa.

Konvensyen Nasional AWAN dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Esok dan lusa di lokasi sama, Konvensyen Nasional AMANAH 2020 kali kelima akan berlangsung dengan tema “Memperkukuh Kemakmuran Sosial”.

Acara tahunan parti komponen PH itu buat kali pertama berlangsung dalam keadaan norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.