Malaysia Dateline

AWAN Pulau Pinang edar ‘Bakul Rahmah’ menjelang lebaran

Menjelang lebaran beberapa hari lagi, Wanita AMANAH Pulau Pinang meningkatkan usaha mendekati golongan yang memerlukan dengan pelbagai inisiatif antaranya menyampaikan sumbangan melalui program agihan edaran ‘Bakul Rahmah Ramadan Kareem 1442H’.

Menurut ketua AWAN Negeri, Aida Yusof, majoriti penerima program ‘Bakul Rahmah’ itu terdiri dari ibu tunggal, warga emas, pesara tentera dan golongan asnaf.

“Sebelum ini melalui program yang sama, ‘Bakul Rahmah’ diedarkan kepada mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19 dan diagihkan melalui Pusat Khidmat Penyelaras Dun Penaga serta melalui 12 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau MPKK sekitar kawasan Dun Penaga.

“Sumbangan yang diberikan melalui pelbagai cara termasuklah bertandang ke rumah mereka yang daif serta mengadakan majlis penerimaan sumbangan.

“Antara sumbangan edaran yang dipelbagaikan ialah barangan keperluan harian, kain batik kepada penerima wanita dan juga wang tunai bagi meringankan beban golongan tersebut menjelang lebaran yang begitu hampir,” ujarnya.

Aida juga berkata, turut disumbangkan kepada penduduk sekitar ialah pelitup muka, sanitizer serta kurma.