Malaysia Dateline

AWAN Selangor seru ahli sentiasa proaktif beri penjelasan, hapus fitnah

Wanita AMANAH (AWAN) Negeri Selangor menyeru agar semua ahli di peringkat cawangan, kawasan mahu pun sayap-sayap parti supaya mempergiat aktiviti ‘sembang kopi’ secara maya dan realiti.

Ketua AWAN Selangor, Rawiyiah Zakaria berkata, ahli-ahli seharusnya menjadi ‘lidah-lidah lurus’ yang sentiasa proaktif memberi penjelasan terhadap sesuatu persoalan atau persepsi yang dibangkitkan oleh rakyat.

Justeru itu, dengan usaha proaktif seperti memberi penerangan terhadap sebarang berita palsu dan persepsi negatif yang cuba dibangkitkan, beliau mengharapkan ia akan menghapuskan segala fitnah dan mengadu domba yang sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Dalam kondisi negara yang sedang dalam proses pemulihan selepas puluhan tahun ditadbir tanpa integriti dan ketelusan, adalah penting untuk setiap ahli AMANAH memainkan peranan sebagai Duta Kecil Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebahagian perwakilan di Konvensyen Wanita AMANAH (AWAN), Negeri Selangor Kali Ke-3, di Bangi Golf Resort, hari ini.

“Tanggungjawab utama sebagai agen penerangan kerajaan ini, perlu dimaksimumkan memandangkan pentadbiran pada era globalisasi ini penuh mencabar dengan penyebaran berita palsu dan tidak tepat berkenaan sesuatu isu.

“Kita (AWAN Selangor) juga ingin menggesa kepada semua ahli agar terlibat secara langsung dalam proses mereka bentuk kepimpinan dari peringkat akar umbi ke peringkat kepimpinan tertinggi negara.

“Kita percaya semua ahli boleh memainkan peranan optimum dalam radar masing-masing sehingga impian kita untuk melihat barisan kepimpinan terbaik yang mengemudi organisasi sama ada di peringkat parti, negeri seterusnya negara akan dapat direalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Konvensyen Wanita AMANAH (AWAN), Negeri Selangor Kali Ke-3, di Bangi Golf Resort, hari ini.

Konvensyen yang bertemakan ‘Wanita Arkitek Kepimpinan Malaysia Baharu’ itu dirasmikan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Selangor, Ir Izham Hashim yang turut dihadiri Ketua AWAN Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud.

Untuk konvensyen kali ini, 17 AWAN kawasan yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) menghantar perwakilan berbanding 12 kawasan ketika konvensyen kali kedua.