Malaysia Dateline

AWAN seru kerajaan beri perhatian kepada tenaga kerja wanita

Menghayati makna Hari Pekerja, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional berharap kerajaan akan dapat terus memberikan perhatian kepada segala usaha demi memastikan tenaga kerja wanita tidak ketinggalan.

Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi menyifatkan, Malaysia memerlukan keseimbangan penyertaan buruh daripada kedua-dua jantina bagi memastikan negara ini dapat terus dipacu dan kembali ke landasan asal.

Menurut analisis yang dilakukan Institut Penyelidikan Dasar Wanita Amerika Syarikat, Aiman Athirah berkata, hampir 60 peratus orang yang kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19, adalah wanita.

“Manakala industri yang sudah mula terkesan teruk adalah industri perhotelan, penginapan dan restoran. Corak yang sama diyakini berlaku hampir di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Usaha pemberdayaan dan kecekapan memposisikan wanita di pelbagai kedudukan strategik sosio-ekonomi negara, dilihat perlu terus menjadi agenda besar Malaysia seiring Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Aiman Athirah menambah, dengan cabaran pandemik Covid-19 yang dipercayai akan membawa kepada pelbagai implikasi sosio-ekonomi yang besar kepada seluruh dunia, termasuk Malaysia, adalah amat penting agar semua pihak melakukan yang terbaik.

Katanya, semua pihak sama ada di sektor awam mahupun swasta melakukan yang terbaik agar kepentingan dan masa depan masyarakat pekerja dalam negara ini, terus mendapat keutamaan.

“Kerajaan perlu segera membuat penilaian dan simulasi bagi memastikan jaminan pekerjaan kepada rakyat di negara ini tidak terjejas.

“Kemungkinan juga inilah peluang untuk negara menyusun semula seterusnya kerajaan memberikan keutamaan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang kehilangan pekerjaan.

“Ia sekali gus dilihat dapat mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada buruh atau pekerja asing secara perlahan-lahan,” ujarnya lagi.