Malaysia Dateline

AWAN sokong pendirian Presiden sedia kerjasama dengan Bersatu, Warisan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional memandang serius sekaligus menyokong segala usaha yang telah dan berterusan diambil oleh Presiden dan Pasukan Perunding Parti AMANAH Negara untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dirampas di pertengahan pentadbiran Pakatan Harapan.

Menurut Ketua AWAN Nasional, Senator Aiman Athirah mereka juga mengambil maklum akan beberapa keputusan penting parti bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan khususnya berhubung keputusan Bersatu Berprinsip (Tun dan 5 MP) dan Warisan adalah kawan dan bukannya lawan.

“Segala usaha bagi mengambil kembali mandat rakyat wajib dijayakan. Dalam merealisasikan matlamat itu, maka kerjasama dengan semua pihak yang mendokong hasrat bersama perlu terus diperluas dan diperkukuhkan.

“Pada masa yang sama parti dipersiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ‘snap election’, PRU15.

“Dan Speaker Dewan Rakyat wajib dipertahankan daripada sebarang usaha penyingkiran sepertimana yang telah diusulkan oleh PM8, TS Muhyidin Yasin menjelang Sidang Parlimen bermula 13 Julai ini,” katanya.

AWAN juga memandang serius berhubung pendirian enam Ahli Parlimen Bersatu Berprinsip yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bergerak sebagai Blok Bebas bersama Warisan dan kekal melawan Perikatan Nasional serta akan mempertahankan Speaker Dewan Rakyat dalam undian Usul Penyingkirannya nanti.

Sehubungan itu, AWAN berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan terbuka Presiden Parti AMANAH, Mohamad Sabu, untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menentang Perikatan Nasional, sekaligus mengambil usaha bagi mengembalikan mandat rakyat dan mempertahankan Speaker Dewan Rakyat.

“Blok Bersatu Berprinsip dan Warisan sejak awal telah bersama-sama dengan Pakatan Harapan sebelum PRU-14 dalam usaha kita menumbangkan Regim Zalim Kleptokrasi sehingga kita sama-sama berjaya membentuk kerajaan Pakatan Harapan dan Warisan.

“Setelah Kerajaan Pintu Belakang dibentuk, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan terus konsisten untuk tidak bekerjasama, bahkan sebaliknya menolak kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Justeru itu, AWAN percaya tidak ada sebab untuk AMANAH tidak bekerjasama dengan blok Bersatu Berprinsip dan Warisan, di bawah kepimpinan Tun dan juga Shafie Apdal.

“Kami yakin dan percaya bahawa segala usaha mengembalikan mandat rakyat boleh dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak yang mempunyai misi dan objektif yang sama iaitu menolak Kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk tanpa mandat rakyat yang sah.

“Kami menyeru semua pihak untuk terus berpadu tenaga, serius dan bersungguh-sungguh bagi memastikan negara ini dapat diselamatkan daripada para pemuka kleptokrat yang kini turut sama bergabung membentuk kerajaan rapuh Perikatan Nasional,” ujarnya.