Malaysia Dateline

AWAN syor 13 inisiatif bantu rakyat hadapi gelombang kedua Covid19

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) Aiman Athirah Al Jundi menyenaraikan 13 inisiatif yang telah dikemukakan kepada kerajaan dalam usaha membantu rakyat menghadapi kesan gelombang kedua Covid-19.

Menerusi hantaran Facebooknya hari ini, Aiman berkata perkara utama adalah pertimbangan agar dilanjutkan moratorium sehingga hujung tahun ini.

Senator Dewan Negara itu juga menekankan agar kerajaan menangguhkan sesi persekolahan selain meningkatkan keberkesanan program pembelajaran di rumah.

“Selain itu, sediakan saringan ujian Covid-19 bersasar secara percuma kepada rakyat Malaysia dan salurkan bantuan khas one-off RM1,000 kepada Mahasiswa

“Tingkatkan keberkesanan penyampaian bakul makanan ke lokasi-lokasi terjejas khususnya yang ketika ini sedang melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Naikkan juga bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000,” katanya.

Pada masa sama, Aiman juga mencadangkan agar kerajaan meningkatkan keberkesanan dan memperkemaskan sistem pemberian bantuan wang zakat kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan dan terputus sumber pendapatan, sekurang-kurangnya bagi tempoh toga bulan pertama.

Tambahnya lagi, bantuan khas bulanan kepada survivor kes penderaan perlu diberi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan, selain memperbanyakkan program khidmat kaunseling percuma di seluruh negara dengan promosi-promosi berkesan.

Antara perkara lain yang ditekankan termasuklah kerajaan perlu menyediakan platform membantu Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara atas talian.

Pada masa sama, Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan itu turut meminta agar kerajaan dapat menyediakan pakej bantuan peniaga dalam usaha mendorong penerapan E-Dagang yang kukuh untuk terus memacu ekonomi negara.

“Selain itu, berikan geran khas bulanan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan kepada peniaga yang terkesan akibat kehilangan lebih 50 peratus pendapatan disebabkan pandemik Covid-19

“Sediakan juga program khas kepada kumpulan teknokrat dan profesional yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19,” katanya lagi.