Malaysia Dateline

AWAN terima empat usul untuk dibahas, satu usul tanpa bahas

Jawatankuasa Usul Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) memutuskan sebanyak empat usul diterima untuk dibahas, manakala satu usul lagi diterima tanpa bahas.

Menurut Jawatankuasa Usul AWAN, usul memperkasakan institusi Mahkamah Syariah yang dibangkitkan oleh AWAN Negeri Perlis, diterima tanpa bahas.

Tiga lagi usul diterima untuk dibahas iaitu dua daripada AWAN Negeri Johor, manakala AWAN Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa AWAN Nasional masing-masing dengan satu usul.

AWAN Negeri Johor membangkitkan usul pertama iaitu, menggesa kerajaan segera membendung penyebaran politik kebencian agama dan kaum.

Usul kedua yang dibangkitkan daripada AWAN Negeri Johor pula adalah, kerajaan wajar mengkaji semula situasi kemiskinan di Malaysia.

Turut diterima untuk dibahas ialah usul pemansuhan ujrah berganda daripada pinjaman PTPTN oleh AWAN Wilayah Persekutuan serta memposisi AWAN dalam kepimpinan organisasi parti dan kerajaan daripada Jawatankuasa AWAN Nasional.

Konvensyen AWAN Nasional yang bersambung hari ini dengan mesyuarat pemilihan menyaksikan seramai 45 calon merebut 27 jawatan dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan AWAN bagi sesi 2019 hingga 2022.

Bagaimanapun, Dr Siti Mariah Mahmud mengesahkan tidak mempertahankan jawatan sebagai Ketua AWAN Nasional yang disandang sejak penubuhan AMANAH bagi memberi laluan kepada pemimpin lebih muda.

Ahli Dewan Negeri Dun Seri Serdang itu pernah memaklumkan hal tersebut dalam Konvensyen AWAN tahun lalu di Melaka.