Malaysia Dateline

AWAN tumpu bantu ibu tunggal, warga emas hadapi impak Covid-19

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) menyeru orang ramai untuk turut serta menjayakan projek kedua sayap parti itu yang menumpukan penyaluran bantuan kepada ibu tunggal dan warga emas yang tinggal bersendirian.

Pengarah Komunikasinya, Anis Afida Mohd Azli berkata, AWAN pada masa ini berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM14,350 dalam tempoh lima hari selepas kutipan tersebut dilancarkan.

“Sasaran penerima kali ini adalah seramai 500 orang dengan jumlah kutipan sebanyak RM50,000.

“Bantuan kali ini berbentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi setiap penerima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anis turut memaklumkan, AWAN berjaya mengumpul kutipan lebih RM27,000 yang menumpukan kepada projek pertama bagi membantu membekalkan keperluan keselamatan untuk petugas barisan hadapan dan pusat penempatan kritikal wabak Covid-19 di seluruh negara.

Menurutnya, jumlah berkenaan diperoleh daripada ahli parti sendiri dan juga sumbangan orang ramai selepas genap 10 hari kutipan itu dilancarkan iaitu bermula pada 22 Mac lalu.

Justeru, Anis berkata, AWAN mengalu-alukan orang ramai yang ingin memberi sumbangan untuk melakukannya ke akaun rasmi AWAN Nasional seperti maklumat berikut:

Maybank
Wanita Amanah Nasional (Ref: IBU)
5648 9212 4612

“Terima kasih kepada para penyumbang yang telah memberi kepercayaan kepada AWAN Nasional untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal baik untuk kita semua di sisi Allah,” ujarnya lagi.