AWAN ucap tahniah kepada Dr Mohamed Hatta Shaharom

AWAN ucap tahniah kepada Dr Mohamed Hatta Shaharom

Biro Kesenian dan Kebudayaan AWAN Nasional (Seni Budaya AWAN) mengucapkan tahniah kepada Ybhg. Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom (gambar atas) atas pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Ketua Biro Kesenian dan Kebudayaan AWAN, Atriza Umar berkata, pada ketika isu bahasa hangat diperkatakan oleh masyarakat dan mereka yang peka lagi peduli terhadap isu Bahasa Melayu ini, maka amat bersesuailah beliau ditempatkan pada posisi Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka tersebut.

“Moga Ybhg. Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, menjaga kelestarian Bahasa Melayu, yang menjadi bahasa rasmi yang telah ditetapkan menjadi sarana komunikasi dalam bidang pentadbiran seperti isu yang timbul baru-baru ini.

“Sebagaimana telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa rasmi digunakan untuk semua urusan rasmi di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga badan berkanun,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Atriza, Ybhg. Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom adalah seorang doktor pakar dalam bidang Psikiatri yang sangat peka dengan penggunaan bahasa yang betul.

Selain itu, beliau juga adalah tokoh ilmuan, masyarakat, NGO, sejarawan, tambahnya.

“Besarlah harapan kami, semoga dengan ini, akan lebih menyerlahkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

CATEGORIES