Awan ucap takziah, doakan kerja menyelamat dipermudahkan

Awan ucap takziah, doakan kerja menyelamat dipermudahkan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional merakam ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak petang Jumaat lalu.

Awan Nasional turut menyeru orang ramai berdoa agar kerja-kerja mencari dan menyelamat lima lagi penumpang helikopter berkenaan berjalan lancar.

“Awan Nasional berharap seluruh rakyat Malaysia terus berdoa agar pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa-mangsa lain dalam keadaan selamat.

“Kepada semua ahli keluarga mangsa yang terbabit, Awan Nasional berharap agar mereka dapat bersabar dan tabah menerima ujian ini.

“Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Al fatihah buat semua mangsa berkenaan. Semoga roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin,” kata Ketua Awan Nasional Dr Siti Mariah Mahmud dalam satu kenyataan.

Jenazah Noriah selamat dikebumikan di Kampung Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor malam tadi.

Sebelum itu jenazah disembahyangkan di Surau Al-Jahirah, Pangkalan Udara Kuching malam tadi sebelum diterbangkan diterbangkan ke Pangkalan Udara Subang, Selangor menggunakan pesawat tentera.

Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Jumaat lalu. Jasadnya ditemukan di kawasan pencarian awal helikopter terbabit di Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau, tengah hari semalam.

Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat itu.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar Tim Penyelam TLDM dari Sepanggar, Sabah, ke Kuching, Sarawak bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pasukan itu digerakkan pada kira-kira pukul 3 petang tadi.

“Tim penyelam TLDM yang diatur gerak ke Kuching telah dilengkapi dengan peralatan salvej bagi mengesan helikopter berkenaan yang dilaporkan hilang,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohamad pula berkata, buat masa ini usaha pencarian melalui unit udara dan pengunaan pesawat dari unit udara bomba dan penyelamat dan unit udara polis telah dikerah di kawasan kejadian.

Turut mengarahkan empat bot melakukan pencarian untuk fokus kepada kawasan 4 kilometer radius daripada penemuan mayat pertama.

“Kita cuba sedaya upaya namun melihat kepada lokasi serpihan tadi berkemungkinan badan helikopter berada di dalam air,keadaan masih air pasang.

“Kita jangkakan pencarian sukar kerana kawasan air berubah namun begitu kita bersetuju untuk meningkatkan konsentrasi pada malam ini apabila air surut penuh berlaku 11.00 malam untuk memikirkan skop pencarian di lokasi pelancaran utama,” ujarnya dalam temubual langsung dengan TV3.

TAGS