Malaysia Dateline

Aiman Athirah Al Jundi

AWAN ucap takziah kepada mangsa tanah runtuh di Taman Kelab Ukay

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) mengucapkan takziah kepada mangsa kejadian tanah runtuh yang melibatkan tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa dekat Ampang, yang membabitkan lebih kurang 40 penghuni.

Ketuanya, Aiman Athirah Al Judi berkata, pihaknya difahamkan kesemua mangsa telah diarahkan meninggalkan kediaman masing-masing susulan berlaku tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat berkenaan akibat hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin.

Katanya juga, semua mangsa akan ditempatkan di Hotel De Palma Ampang secara percuma selama seminggu sementara memikirkan tindakan selanjutnya.

“Kami ingin mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat. Juga terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor, khususnya YAB Datuk Menteri Besar yang telah memberi respons pantas.

“Kami juga telah mengarahkan agar pasukan Biro Kebajikan Dan Pengurusan Bencana AWAN Nasional, AMANAH yang dipengerusikan oleh Puan Hjh Mariam Abdul Rashid, memberikan perhatian dan bantuan dalam apa cara yang terdaya, sekali gus membantu pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan kebajikan para mangsa terbela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap semoga Allah mempermudahkan segala urusan semua pihak terlibat.

Astro Awani hari ini melaporkan, kira-kira 40 penghuni di tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa dekat Ampang diarah meninggalkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat berkenaan.

Tindakan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima laporan kejadian pada jam 2.21 pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor, pihaknya kemudian mengerahkan sebuah jentera dengan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dihantar ke lokasi untuk membuat pemantauan.

Beliau berkata 40 penghuni di tujuh rumah diarah meninggalkan kediaman masing-masing kerana bimbang keselamatan mereka.