Awang Besul sudah tiada, bedah siasat akan dijalankan

Awang Besul sudah tiada, bedah siasat akan dijalankan

 

Harimau belang ‘Awang Besul’ yang ditangkap selepas berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu minggu lalu telah disahkan mati kira-kira jam 5.30 pagi tadi selepas dikuarantin.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu kenyataan, memaklumkan harimau tersebut mati di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) dan ia disahkan oleh doktor veterinar.

Katanya, haiwan tersebut telah dipindahkan ke NWRC, Sungkai, Perak pada 19 Julai lalu bagi mendapatkan rawatan intensif daripada Doktor Veterinar Jabatan Perhilitan dan dikuarantin.

“Keputusan virologi diterima pada 22 Julai lalu menunjukkan ‘Awang Besul’ positif ‘Virus Canine Distemper’ melalui ujian RT-PCR.

“Canine Distemper adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesis harimau.

“Jika penyakit ini terkena pada harimau, ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia, dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis.

“Pihak Jabatan tidak menolak kemungkinan ‘Canine Distemper’ yang dihadapi ‘Awang Besul’ disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul Lama, Dungun,” katanya kenyataan itu, hari ini.

19 Julai lalu, lebih kurang jam 3.45 petang, Jabatan Perhilitan telah berjaya menangkap seekor harimau belang yang berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Dungun.

Pemeriksaan fizikal di lapangan pada ketika itu mendapati, harimau itu berada dalam keadaan dehidrasi, cedera pada bahagian kaki dan keradangan mata.