Awang Selamat: Malaysiakini boleh jinakkan pihak berkuasa

Awang Selamat: Malaysiakini boleh jinakkan pihak berkuasa

Akhbar milik Umno-BN, Mingguan Malaysia hari ini menyifatkan laman web berita Malaysiakini sebagai boleh menjinakkan pihak berkuasa.

Melalui ruangan Analisis Mingguan, editorial Awang Selamat mempersoal tiadanya tindakan diambil ke atas Malaysiakini walaupun ‘terus memainkan sentimen berbahaya’.

Menggelarkan Malaysiakini sebagai ‘portal berita pro DAP’, Awang Selamat berkata, portal itu secara selektif menyiarkan banyak komentar pembaca yang dianggapnya ‘liar termasuk mencabar keputusan mahkamah’.

“Adalah jelas Malaysiakini menikmati kelebihan malah ramai yang melihat portal itu kebal kerana masih ramai yang melihat portal itu kebal kerana masih tidak diambil tindakan.

“Awang tidak mahu komen lanjut, cukup sekadar ucapkan tahniah kerana Malaysiakini boleh menjinakkan pihak berkuasa kita,” ujarnya.

Malaysiakini pernah diiktiraf oleh Malaysian Digital Association (MDA) dan laporan comScore sebagai laman web berita paling banyak diakses dengan mencecah 1.25 juta pelawat unik bulanan bagi Januari 2015.

Paparan berita yang disiar portal mengandungi empat versi bahasa itu membolehkan pembaca bebas memberi ulasan dengan versi bahasa Melayu sahaja boleh mencatatkan lebih 500 komentar hanya selepas 15 jam disiarkan.

{loadposition myposition}

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami.

“Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri,” dipetik daripada penafian Malaysiakini di bahagian akhir setiap paparan beritanya.

Menurut Awang Selamat lagi, taktik Malaysiakini menggunakan notis bahawa portal tersebut tidak bertanggungjawab atas sebarang ‘komen jelek pembacanya’ mesti dihentikan.

“Itu hanyalah alasan lapuk untuk lepas tangan daripada memikul tanggungjawab penuh,” tegasnya.

Bahkan, Awang Selamat turut menuduh DAP tentu antara yang meroyan membuat bantahan jika saluran Utusan atas talian dan akhbar arus perdana lain membiarkan banyak komen pembaca yang liar dan bersifat tohmahan.

Akhbar milik syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Bhd tersebut sebelum ini sememangnya dilihat tidak menyenangi portal berita sosio-politik itu.

Dua tahun lalu misalnya, pengarang Zulkiflee Bakar pernah menulis dengan tajuk, ‘Malaysiakini bagaikan hantu penanggalan’ dan menganggap portal beribu pejabat di Petaling Jaya itu sebagai sudah ‘membutakan mata dan menutup hati’ untuk menerima kebenaran.

CATEGORIES
TAGS