Malaysia Dateline

Awas 6000 akan ke CAC Stadium Melawati Rabu ini jika perubahan tidak dibuat

Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam bakal berdepan kebanjiran pesakit Covid-19 Rabu 21 Julai ini apabila lebih 6,000 pesakit dijangka akan ke situ, sehari selepas cuti hari raya Aidil Adha.

Menurut sumber CAC Stadium Melawati, jumlah pesakit itu diperolehi berdasarkan jangkaan mereka terhadap data-data temujanji yang mereka perolehi dari pesakit Covid-19 di Daerah Petaling dan sekitarnya.

Kehadiran tersebut juga dijangka sangat tinggi kerana CAC Stadium Melawati telah tidak beroperasi secara penuh pada 20 Julai kerana sebahagian dari petugas dan sukarelawan terpaksa bercuti rehat sempena hari raya Aidil Adha.

Jika ini berlaku bermakna, sejarah hitam CAC Stadium Melawati itu akan berulang lagi sebagaimana Isnin 12 Julai lalu apabila 4500 pesakit ke CAC itu untuk membuat penilaian sakit mereka.

Keadaan di dalam CAC Stadium Melawati 12 Julai lepas penuh sesak. Ia akan berulang jika pendekatan baharu tidak diambil segera.

CAC Stadium Melawati, yang terbesar di negara ini, diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil alih bangunan Stadium Melawati melalui Seksyen 3 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) 2021 manakala kerajaan negeri pula sejak awal operasi CAC bermula sejak Februari 2021 telah sedaya upaya membantu melangkapkan keperluan stadium ini bagi  membantu KKM menangani penularan Covid19 di daerah Petaling tersebut.

“Jika 4,500 pesakit sudah menyebabkan berita mengenai Malaysia sampai ke antarabangsa, saya tidak tahu apa akan berlaku jika 6,000 orang ini menyerbu CAC Stadium Melawati Rabu ini,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Orang ramai beratur dari pagi hingga petang di luar Stadium Melawati 12 Julai lepas. Ia bakal berulang Rabu ini jika tidak ada perubahan dibuat.

Menurut beliau, Pengerusi Selangor Task Force for Covid-19, (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud sudah berkali-kali memberikan pandangan agar pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 tidak perlu datang ke CAC.

Mereka sepatutnya membuat kuarantin kendiri di rumah masing-masing dengan pemantauan ketat  melalui aplikasi yang sesuai termasuk Selangkah yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.

“Jika pesakit kategori  1 dan 2 yang berjumlah 95 peratus daripada keseluruhan pesakit tersebut  tidak datang ke CAC, kita boleh kurangkan tekanan di CAC Stadium Melawati ini.

“Ini kerana, lebih 95 peratus pesakit Covid-19 yang datang adalah dari kategori ini.

“Tetapi jika ia kekal sebagaimana yang ada sekarang, kami jangka 6000 pesakit akan ke CAC ini Rabu ini,” kata beliau lagi.

Pesakit Kategori 1 & 2 (tiada keradangan paru-paru) yang berjumlah lebih 95 peratus daripada kes harian, adalah mereka yang disahkan positif Covid-19, tetapi tiada langsung simptom, atau hanya mendapat ‘mild symptoms’ (ringan) seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak atau hilang deria rasa.

“Sepatutnya mereka tidak perlu ‘diarahkan’ datang ke CAC kerana ia akan menambah beban tugasan yang amat berat pada pengurusan CAC, dan juga frontliner yang terlibat,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor  telah membangunkan applikasi ‘Selangkah’ pada 5 Mei 2020 yang mempunyai kemampuan utama ‘contact tracing’ dan fungsi ‘home assessment tools‘.

Carta aliran pergerakan yang dicadangkan untuk mengurangkan kesesakan di CAC.

Ekoran kekecohan yang berlaku pada 12 Julai lalu, apabila 4,500 pesakit ke CAC Stadium Melawati, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba terpaksa turun ke situ bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk DrChong Chee Kheong.

KKM seterusnya telah membuat keputusan terbaharu melalui sidang media oleh Dr Chong keesokan harinya dan mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menimbangkan gesaan Kerajaan Selangor melalui STFC itu untuk pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala atau bergejala ringan itu dikecualikan daripada hadir ke mana-mana CAC

“Pemantaun kes-kes tersebut (Pesakit yang tidak bergejala atau bergejala ringan) akan diadakan secara maya tanpa keperluan menghadiri secara fizikal ke CAC.

“Pesakit juga akan dibekalkan dengan ‘home surveillance order’ secara digital melaui applikasi MySejahtera atau lain-lain applikasi dan ianya sah dari segi undang-undang Malaysia,” ujar Dr Chong.

Namun begitu tidak dapat dikenalpasti apakah pesakit Kategori 1 dan 2 ini tidak lagi akan datang ke CAC Rabu ini kerana sehingga 18 Julai lalu ia masih tidak dilaksanakan lagi.

Ekoran kekecohan yang berlaku pada 12 Julai, KKM telah membuka lebih banyak CAC di seluruh Selangor.