Malaysia Dateline

Awas, banjir malam tahun baharu dijangka melanda Pantai Timur

Malam tahun baharu 2022 dijangka menyaksikan banjir serentak di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Ramalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati bah akan berlaku bermula Jumaat dan Sabtu ini (31 Disember dan 1 Januari 2022) susulan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Sehubungan itu, JPS menasihatkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Dalam kenyataannya, JPS berkata, banjir dijangka berlaku di Kelantan bermula jam 8 malam 31 Disember ini di Lembangan Sungai Kelantan, membabitkan daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

“Selain itu, banjir turut dijangka berlaku di Lembangan Sungai Golok membabitkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar berisiko banjir.

“Pada masa sama, banjir dijangka berlaku di Terengganu membabitkan Lembangan Sungai Besut di daerah Besut dan Lembangan Sungai Terengganu membabitkan Terengganu dan kawasan sekitar berisiko banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MET Malaysia mengeluarkan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di hampir keseluruhan daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Pada 1.30 tengah hari tadi, MET juga memaklumkan tahap waspada mulai esok hingga 1 Januari 2022 di seluruh Terengganu dan Johor manakala di Pahang melibatkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Sabah pula, hujan berterusan juga dijangka berlaku di Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga 2 Januari.

Menurut MET, amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.