Malaysia Dateline

Awas banjir mungkin landa Kelantan, Terengganu hari ini

Penduduk Terengganu dan Kelantan diminta berjaga-jaga berikutan amaran banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) semalam.

Di Terengganu, JPS meramalkan banjir bermula malam tadi di daerah Hulu Terengganu berikutan air di Sungai Brang yang mula naik.

Kampung-kampung yang diminta berjaga-jaga adalah Kampung Pengkalan Ajal, Menerong, Pasir Pelata, Kua, PPSK Gunung Menerong dan kawasan sekitarnya.

Di Kelantan pula banjir dijangka melanda daerah Kuala Krai berikutan air naik di Sungai Nal dan Sungai Pahi menuju ke daerah itu awal pagi tadi.

Seorang penduduk di Kuala Krai menaikkan video tentang air deras sedang mengalir ke Sungai Kelantan sejak semalam.

Kampung-kampung yang diminta berjaga-jaga adalah Kampung Bedal, Bukit Sireh, Taman Warisan, Kuala Pertang, Ngagoh, Pahi, Aur Duri, Gucil, Jirat, Gatal, Bukit Mengkebang, Keroh, Batu Jong dan kawasan sekitarnya.

Semalam seorang penduduk di Dabong, Kuala Krai menaikkan satu video tentang air sungai yang sangat deras di Kampung Madrasah Lama yang mengalir ke Sungai Kelantan menuju muara sungai di Kota Bharu.

Video yang dirakamkan jam 2 petang semalam (Jumaat) itu menunjukkan air sungai mengalir sangat deras dan ia amat bahaya kepada penduduk di sepanjang tebing sungai itu.

Menurut beliau, air sungai berkenaan sedang naik dengan cepat berikutan hujan selama dua hari berturut-turut sejak Rabu lepas.

Beliau bimbang, jika air Sungai Neggiri dan Lebir juga naik, banjir akan berlaku di sepanjang tebing Sungai Kelantan.