Malaysia Dateline

Awas, baru terkena ‘ekor’, ‘kepala’ ribut belum sampai

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan buruk membabitkan 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Menurut Facebook jabatan berkenaan, amaran buruk dikeluarkan membabitkan kawasan Gua Musang, Kelantan dan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran dan Kuantan di Pahang.

Selain itu, tahap waspada iaitu hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sehingga kini, sebanyak 1,766 orang daripada 428 keluarga menjadi mangsa banjir setakat pukul 8 pagi manakala sebanyak 46 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 12 daerah telah buka bagi menempatan mangsa banjir.

Sementara itu, hujan yang lebih lebat dan ribut dijangka melanda Malaysia dan Indonesia berdasarkan ramalan pakar meteorologi.

Ini kerana, berdasarkan gambaran stelite yang ada, ribut taufan semalam melanda laut berhadapan Vietnam dan Kemboja manakala Malaysia dan Indonesia  baru terkena ‘ekor’ dari ribut tersebut.

Menurut seorang pengguna Facebook yang banyak memuat naik isu cuaca dalam laman beliau, Zulraiman Ismail, Taufan Rai baru saja meninggalkan Filipina pada petang semalam.

Ia berada di antara Filipina dengan Vietnam dan Dijangka pada 20hb Disember, iaitu Isnin (hari ini) ia membadai pantai Vietnam. (gambar kanan)

Walaupun taufan ini tidak secara langsung mengena sasaran kepada Malaysia namun kekuatan “libasan” ekor taufan membantu untuk menguatkan angin timur laut yang sedia bertiup dari pendalaman China dan Siberia.

Katanya, sekarang hujan yang lebat lebih tertumpu di Pantai Barat Semenanjung Malaysia berbanding di Pantai Timur.

Ini kerana angin timur laut terhalang oleh Banjaran Titiwangsa lalu menghimpit ke Teluk Siam.

Angin yang masuk ke Teluk Siam membuat pusingan U lalu merentasi selatan Thailand terus ke Selat Melaka.

“Mengapa angin ini buat pusingan U?

“Ini kerana ia bertemu dengan angin Timur Laut yang bertiup dari daratan China, Indochina dan Thailand. Angin ini masuk melalui utara Selat Melaka menuju ke selatan.

“Sekarang berlaku TEKANAN RENDAH di Selat Melaka di perairan negeri Perak. Ia membentuk satu pusaran (gambar kiri).

“Tekanan rendah dan pusaran angin ini kemungkinan besar disebabkan oleh dua arah angin yang berlainan kelajuan,” katanya.

Angin yang membeluk pusingan U ini, katanya, mempunyai kelajuan yang rendah, tetapi angin dari daratan China lebih laju.

“Maka pertembungan ini terjadi satu pusaran.

“Sebab itulah hujan lebih tertumpu di Kedah, Perak dan Selangor…” tulis beliau.

Namun begitu, ketika ramalan ini dibuat, pihak Jabatan Metereologi Malaysia telah menamatkan amaran tentang hujan lebat hari ini.